rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Pilih – Nak RM 350,000 ke RM 756,000 13 tahun dari sekarang?

Pagi tadi ada Financial Plan Presentation dengan seorang klien yang renew untuk tahun kedua.

Lepas saya bentangkan pelan kewangan yang dikemas kini, dia tanya,

“Apa yang saya patut fokus untuk 13 tahun akan datang? Retirement funding saya masih ada gap yang agak besar. Saya risau tak sempat capai.”

Salah satu perkara yang kami bincangkan ialah sebuah apartment yang dia beli hampir 10 tahun lepas.

Hari ini apartment itu tak diduduki, tak disewakan, tetapi kos masih berjalan.

Kalau dijual sekarang, anggaran nilainya sekitar RM350,000.

Harga beli dulu RM390,000.

Baki pembiayaan lebih kurang RM112,000.

Selepas tolak baki hutang dan kos jualan, dia dijangka akan menerima sekitar RM223,000.

Saya bentangkan tiga senario.

Senario 1 – Kekalkan keadaan sekarang

Apartment terus dibiarkan kosong.

Andaian terbaik, 13 tahun lagi harga masih sekitar RM350,000 dan pinjaman selesai dibayar.

Nilai aset bersih sekitar RM350,000.

Senario 2 – Sewakan apartment

Kalau berjaya disewakan dan aliran tunai sekurang-kurangnya breakeven, RM1,200 sebulan yang sebelum ini digunakan untuk menampung apartment boleh disimpan dan dilaburkan.

Kalau berkembang pada kadar 6% setahun selama 13 tahun, nilai pelaburan itu boleh mencecah sekitar RM280,000.

Ditambah dengan nilai apartment, jumlah aset menjadi sekitar RM630,000.

Senario 3 – Jual sekarang

Jual apartment dan terima sekitar RM223,000 bersih.

Laburkan jumlah itu, dan pada masa yang sama simpan RM1,200 sebulan yang sebelum ini digunakan untuk apartment.

Dengan andaian pulangan 6% setahun selama 13 tahun, jumlah terkumpul boleh mencecah sekitar RM756,000.

Saya tak beritahu dia mana satu yang wajib dipilih.

Tugas saya bukan membuat keputusan bagi pihak klien.

Tugas saya ialah menunjukkan implikasi kewangan bagi setiap pilihan supaya dia boleh membuat keputusan yang selari dengan matlamat hidupnya.

Ramai orang terlalu sayang nak lepaskan sesuatu aset semata-mata sebab dah pegang lama.

Tetapi dalam perancangan kewangan, soalan yang lebih penting ialah:

Adakah aset itu membantu kita mencapai matlamat, atau sebenarnya menghalang kita?

Kadang-kadang aset yang nampak “selamat” sebenarnya mempunyai kos peluang (opportunity cost) yang sangat besar.

Bukan semua aset perlu disimpan.

Dan bukan semua aset yang dijual itu bermaksud rugi.

Yang lebih penting ialah sama ada keputusan itu membawa kita lebih dekat kepada kebebasan kewangan yang kita inginkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *