Klien tanya pasal polisi takaful dia.
Dia ada ambil satu polisi yang fokus kepada Critical Illness (CI). Premium lebih kurang RM500 sebulan untuk dapat sekitar RM500,000 Critical Illness coverage.
Dia stress.
Bukan sebab tak mampu bayar, tapi sebab dia mula persoalkan, “Perlu ke sebenarnya aku ambil polisi ni?”
Background sikit.
Dia masih single, bekerja sebagai pilot di luar negara. Sejujurnya, dia tak berapa faham pasal takaful masa mula-mula ambil dulu.
Dia ambil sebab ayah dia suruh.
Sebagai anak yang menurut kata, dia pun ikut.
Tapi sejak tahun lepas, dia mula reach out kepada saya sebab dia rasa ada beberapa keputusan kewangan yang dibuat sebelum ini mungkin kurang sesuai.
Contohnya pasal hartanah.
Ayah dia suruh beli tiga buah property.
Dua dia sendiri yang kena keluarkan duit dan bayar ansuran. Satu lagi ayah dia yang bayarkan.
Property pertama dah hampir 10 tahun.
Masih negative cashflow, ada isu nak dapat vacant possession/strata title dan proses lain yang berlarutan. Sampai sekarang masih jadi beban. Dia dah sampai tahap sanggup let go walaupun kena top up.
Property kedua pula bakal dapat kunci tak lama lagi.
Tapi sebab pengalaman dengan property pertama, dia bercadang nak flip.
Masalahnya, bila tengok market, dah lebih 30 unit di PropertyGuru dijual pada harga bawah harga belian. Kalau jual sekarang pun kemungkinan besar tak balik modal.
Sekarang kami sedang bincang pilihan terbaik untuk kedua-dua property tersebut.
Berbalik kepada isu takaful.
Saya terangkan beberapa perkara.
Pertama, secara umum saya memang akan advise seseorang mengambil Life, TPD dan Critical Illness coverage jika ada keperluan.
Tetapi kena faham tujuan perlindungan ini.
Ia bukan untuk buat duit.
Ia bukan untuk cover bil hospital.
Fungsi utamanya ialah income replacement. Kalau berlaku kematian, hilang upaya kekal atau penyakit kritikal sehingga menjejaskan kemampuan bekerja, ada sejumlah wang untuk menggantikan pendapatan yang hilang.
Sebab itu, selagi seseorang masih bekerja dan bergantung kepada pendapatan aktif, perlindungan ini biasanya masih relevan.
Tetapi bila seseorang dah mencapai financial freedom, tiada lagi kebergantungan kepada pendapatan kerja, ketika itu keperluannya mungkin berubah. Saya sendiri biasanya akan advise klien menilai semula sama ada masih perlu mengekalkan perlindungan tersebut atau tidak.
Kedua, saya tunjukkan polisi yang saya sendiri ambil.
Life RM2 juta.
TPD RM2 juta.
Critical Illness RM500,000.
Premium sekitar RM1,000 sebulan.
Bukan untuk kata polisi saya lebih baik.
Tetapi sekadar menunjukkan bahawa kos bagi setiap RM100,000 perlindungan boleh jadi jauh berbeza bergantung kepada struktur polisi yang diambil.
Jadi dia share maklumat tersebut dengan ejen dia.
Respons ejen itulah seperti dalam screenshot.
Ketiga, saya ingatkan dia supaya jangan lupa mengambil kira perlindungan daripada majikan.
Kalau syarikat memang menyediakan Life, TPD atau Critical Illness, itu juga sebahagian daripada keseluruhan perlindungan yang dia ada.
Selagi bekerja dengan syarikat tersebut dan manfaat itu masih diberikan, ia boleh diambil kira dalam perancangan.
Keempat, saya highlight satu perkara yang pada saya lebih penting.
Dia langsung tiada medical card.
Pada saya, hospitalisation coverage tetap penting sebab keperluan untuk mendapatkan rawatan di hospital tak akan hilang walaupun suatu hari nanti dia dah bersara.
Selepas semua penerangan itu, saya tak suruh dia batalkan polisi.
Saya tak suruh dia tukar polisi.
Saya cuma beri maklumat, terangkan pro dan kontra, kemudian beri dia masa untuk digest semuanya.
Kalau ada soalan lagi, kita bincang.
Kalau dia nak kekalkan polisi, itu keputusan dia.
Kalau dia nak buat perubahan, itu pun keputusan dia.
Tugas seorang financial planner bukan membuat keputusan untuk klien.
Tugas kami ialah memastikan klien faham sebelum membuat keputusan.
Apa yang saya belajar daripada kes ini?
1. Nasihat daripada orang yang tidak arif, walaupun datang daripada orang yang kita sayang, tidak semestinya sesuai.
Ayah dia memang berniat baik.
Tetapi niat yang baik tidak semestinya menghasilkan keputusan kewangan yang baik.
Perkara yang sama berlaku pada pembelian hartanah dan juga takaful.
2. Jangan beli produk sebelum faham tujuan produk itu.
Ramai orang beli sebab orang suruh.
Bila ditanya kenapa ambil polisi itu, apa yang dilindungi dan sampai bila perlukan perlindungan tersebut, mereka sendiri tak pasti.
Kalau kita tak faham sebab kita membeli sesuatu, macam mana kita nak tahu bila patut kekalkan atau bila patut ubah?
3. Perancangan kewangan perlu melihat keseluruhan gambar, bukan satu produk sahaja.
Nak tentukan sama ada sesuatu polisi sesuai atau tidak, kita kena tengok pendapatan, aset, hutang, komitmen, perlindungan daripada majikan, simpanan dan matlamat kewangan.
Bukan sekadar tengok premium semata-mata.
4. Mahal tidak semestinya salah. Murah juga tidak semestinya lebih baik.
Yang penting ialah value.
Kalau dua polisi memberi manfaat yang hampir sama tetapi kosnya jauh berbeza, memang wajar kita bertanya kenapa.
Bandingkan manfaat, bukan sekadar harga.
5. Hormat ibu bapa itu penting. Tetapi keputusan kewangan tetap tanggungjawab kita sendiri.
Ikut nasihat ibu bapa itu satu perkara yang baik.
Tetapi apabila melibatkan komitmen berpuluh tahun seperti membeli rumah atau mengambil perlindungan kewangan, kita sendiri perlu faham kenapa keputusan itu dibuat.
Kerana akhirnya, kita yang akan menanggung komitmen tersebut.
Benda yang paling mahal dalam kewangan bukanlah premium takaful atau ansuran rumah.
Yang paling mahal ialah membuat keputusan yang salah selama bertahun-tahun hanya kerana kita tak pernah bertanya,
“Kenapa aku buat keputusan ni?”
