Kalau kira guna financial calculator, itu lebih kurang bersamaan kadar inflasi 3.28% setahun selama 36 tahun. Dari sudut matematik, memang masuk akal.
Pernah satu hari mak tanya aku,
“Kenapa orang sekarang gaji lagi tinggi, tapi macam lagi susah nak survive berbanding zaman mak dulu?”
Mak aku cikgu. Sampai bersara pun gaji tak pernah cecah RM3,000.
Aku tanya balik,
“Dulu ada pembantu rumah kan? Berapa mak bayar sebulan?”
Mak jawab, sekitar RM150 sebulan.
Kalau ikut kiraan mudah, kos pembantu rumah ketika itu lebih kurang 5% daripada gaji mak.
Kalau hari ini nak kekalkan nisbah yang sama, dan gaji pembantu rumah sekitar RM1,500 sebulan, seseorang perlu bergaji kira-kira RM30,000 sebulan untuk perbelanjaan itu masih kekal sekitar 5% daripada pendapatan.
Tak payah pergi jauh.
Masa aku baru kahwin, aku beli apartment di Vista Seri Putra pada harga RM98,000. Bukan rumah kos rendah, apartment biasa.
Hari ini, unit yang sama dijual sekitar RM230,000 hingga RM280,000.
Dulu ansuran bulanan aku sekitar RM550.
Sekarang, pembeli baru mungkin perlu bayar sekitar RM1,100 sebulan untuk rumah yang sama.
Itu baru beza lebih kurang 20 tahun.
Inflasi memang real.
Dalam sistem kewangan hari ini, harga barang dan aset cenderung meningkat dari semasa ke semasa. Memang ada barang tertentu yang boleh turun harga, tetapi secara keseluruhannya kos sara hidup akan terus meningkat dalam jangka panjang.
Sebab itu ramai fokus kepada isu gaji yang tidak naik seiring dengan kos hidup.
Tetapi pada aku, itu cuma separuh daripada cerita.
Tahun lepas ada sepasang suami isteri datang jumpa aku. Pendapatan gabungan mereka hampir RM30,000 sebulan.
Namun cashflow mereka negatif.
Isteri nak berhenti kerja, tetapi aku minta dia tangguhkan dulu. Fokus pertama ialah betulkan aliran tunai.
Setahun kemudian, isteri dapat VSS dan berhenti kerja.
Bezanya, ketika itu kewangan mereka sudah tersusun. Pendapatan suami sahaja sudah cukup untuk menampung semua perbelanjaan keluarga.
Sebelum itu, walaupun pendapatan tinggi, mereka masih defisit kerana corak perbelanjaan tidak dikawal.
Adakah ini bermaksud semua orang yang susah hanya kerana tak pandai urus duit?
Sudah tentu tidak.
Kalau pendapatan memang terlalu rendah, sehebat mana pun financial planning, tetap ada hadnya. Kita tak boleh berjimat sampai melebihi apa yang kita ada.
Tetapi pada masa yang sama, kita juga tak boleh menyalahkan inflasi semata-mata.
Hakikatnya, kedua-dua perkara ini berlaku serentak.
Inflasi menyebabkan kos hidup semakin tinggi.
Dan tanpa pengurusan kewangan yang baik, pendapatan yang tinggi pun belum tentu menjamin kewangan yang selesa.
Sebab itu penyelesaiannya bukan sekadar cari pendapatan lebih tinggi.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu belajar mengurus wang dengan lebih baik.
