rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Dapat serap jadi doktor kerajaan, patut kekal ke berhenti kerja?

Ramai orang bising yang kena tunggu makin lama bila pergi klinik kesihatan atau hospital kerajaan sekarang ni. Salah satu sebab yang selalu disebut adalah kekurangan doktor.

Saya teringat seorang klien saya yang merupakan seorang doktor.

Beberapa bulan lepas, dia datang berjumpa saya untuk berbincang tentang perancangan kewangan. Masa tu dia baru dapat berita yang ramai orang tunggu-tunggu — peluang untuk diserap ke jawatan tetap dalam kerajaan.

Pada pandangan ramai, itu sepatutnya berita gembira.

Tapi dia datang dengan satu dilema besar.

Nak kekal atau nak berhenti?

Bila dia cerita rutin kerja harian dia, saya sendiri terdiam.

Kerja kerajaan dari pagi sampai petang.

Rehat sekejap.

Sambung locum dari 6 petang sampai 11 malam.

Rehat sejam lagi.

Sambung locum dari 12 malam sampai 4 pagi.

Kemudian balik, tidur beberapa jam, dan ulang semula rutin yang sama.

Bukan sekali-sekala.

Hampir setiap hari.

Weekend pun tetap bekerja, cuma tidak seteruk hari biasa.

Selepas 5 tahun berkhidmat dengan kerajaan, pendapatan beliau masih belum mencecah RM5,000 sebulan.

Dalam masa yang sama, tawaran daripada sektor swasta mula masuk.

RM8,000.

RM10,000.

Ada yang sehingga RM14,000.

Dengan waktu kerja yang lebih normal.

Jadi bila orang tanya kenapa doktor keluar daripada sektor awam, saya teringat perbualan dengan klien ini.

Bukan kerana dia tidak sayangkan pesakit.

Bukan kerana dia tidak mahu berkhidmat.

Tetapi dia juga seorang suami, seorang anak, dan seorang individu yang memikirkan masa depannya sendiri.

Kalau dengan waktu kerja biasa sahaja dia boleh memperoleh pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding keadaan sekarang, memang sukar untuk tidak mempertimbangkan pilihan tersebut.

Saya faham kenapa rakyat kecewa apabila masa menunggu semakin lama di hospital kerajaan.

Tetapi selepas mendengar sendiri cerita seperti ini, saya juga faham kenapa ada doktor yang akhirnya memilih untuk pergi.

Kalau kita mahu menyelesaikan isu kekurangan doktor, mungkin kita perlu melihat bukan sahaja kesannya kepada pesakit, tetapi juga realiti yang dihadapi oleh doktor-doktor yang berada dalam sistem itu setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *