Baru jer off the phone dengan seorang klien. Dia bagi update yang wife dia baru verbally accept offer kerja baru, gaji bulanan naik dalam RM 500 sebulan (Dari RM 6,800 jadi RM 7,300)
Ada dua soalan yang klien tanya.
1. Boleh tak nak nego lagi sebab offer letter dah nak keluar hari ni?
2. Standard orang guna bila nak tukar kerja kena minimum dalam 20% kenaikan kan?
Ramai orang terus fokus kepada angka gaji bulanan, sedangkan itu cuma satu bahagian daripada pampasan keseluruhan.
Kalau nak tengok secara lebih menyeluruh:
Kerja lama: RM6,800 untuk 26 hari sebulan ≈ RM261 sehari
Kerja baru: RM7,300 untuk 22 hari sebulan ≈ RM332 sehari
Secara kasar, kadar bayaran harian naik lebih kurang 27%.
Belum kira lagi:
4 hari tambahan cuti setiap bulan (48 hari setahun)
Medical benefit yang sekarang cover satu keluarga
Masa tambahan bersama keluarga
Kurang risiko burnout jika memang sebelum ini kerja hampir setiap hari
Cuma dalam kes ni ada juga kos yang perlu diambil kira:
Perlu berpindah dari Gelang Patah ke JB
Sewa rumah mungkin meningkat
Kos perjalanan dan kos hidup mungkin berubah
Sebab itu saya selalu cakap, bila menilai tawaran kerja, jangan tengok “berapa naik gaji” sahaja. Tengok juga:
1. Berapa jam dan berapa hari kita perlu bekerja?
2. Apa manfaat tambahan yang diberi?
3. Apa kos tambahan yang perlu ditanggung?
4. Apa kesan kepada kualiti hidup dan keluarga?
Kadang-kadang tawaran yang nampak macam “naik RM500 je” sebenarnya memberi peningkatan yang jauh lebih besar bila dinilai secara keseluruhan.
Dan sebab wife klien tu baru bagi verbal acceptance dan offer letter masih belum dikeluarkan, secara teknikal masih boleh cuba berunding. Cuma saya rasa sebelum fikir nak minta lebih, elok pastikan dulu sama ada keseluruhan pakej itu sudah cukup menarik berbanding kerja sekarang.
Sebab ada masanya, kita terlalu fokus nak kejar tambahan RM200-RM300 lagi, sampai terlupa yang sebenarnya kita dah pun mendapat kenaikan yang signifikan dari segi pendapatan per hari, manfaat, dan kualiti hidup.
