Hari tu saya dah share panjang lebar pasal apa yang kita patut buat dari segi kewangan peribadi kalau konflik US–Iran ni berterusan.
Antara benda yang paling besar kemungkinan akan berlaku ialah harga minyak terus naik.
Bila minyak naik:
kos pengangkutan naik
harga barang naik
kos sara hidup naik
dan akhirnya… bayaran bulanan makin terasa sempit
Ramai orang sekarang pun dah mula rasa. Diesel naik pun dah ramai mengeluh. Kalau minyak dunia betul-betul meletup, kesannya bukan kecil.
Tapi dalam semua ni, isu paling bahaya bukan sekadar inflasi. Isu paling bahaya adalah hutang.
Malaysia ni memang antara negara dengan hutang isi rumah yang tinggi.
Maksudnya?
Bila kos hidup naik, ramai orang sebenarnya tak ada banyak ruang bernafas. Sebab tu hari tu saya dah cakap:
Kalau boleh, jangan buat hutang baru dalam tempoh terdekat ni. Tapi kalau yang dah ada hutang, sementara nak tunggu kalau-kalau kerajaan, bank, atau Bank Negara ambil langkah tertentu nanti…
Apa yang korang boleh buat sekarang untuk kurangkan beban bulanan?
1. Jangan buat hutang baru
Yang ni paling asas. Kalau kena kurangkan belanja lain, terutamanya benda yang sekadar kemahuan, buat dulu. Sekarang bukan masa nak tambah komitmen.
Sekarang masa nak jaga cashflow.
2. Kalau ada hutang kad kredit, tukar jadi term financing
Kalau dah mula tak mampu nak bayar kad kredit macam biasa sebab kos sara hidup makin tinggi…
Pergi bank dan apply tukar baki kad kredit tu jadi term financing / pelan bayaran tetap.
Kenapa?
Sebab kadar kad kredit memang tinggi. Kalau biar lama-lama, dia akan makan kita senyap-senyap.
Lepas dah tukar?
Potong kad tu kalau perlu.
3. Cuba bincang dengan bank pasal moratorium atau kurangkan bayaran bulanan
Ramai orang ingat moratorium ni macam “pause” masalah. Hakikatnya, kena faham betul-betul terma dan syarat.
Selalunya:
tak payah bayar sekejap, tapi interest / kadar keuntungan masih berjalan dan total hutang boleh jadi lebih besar nanti
Kalau tak sesuai moratorium penuh, cuba nego bayaran bulanan yang lebih rendah untuk tempoh tertentu.
Kadang-kadang itu pun dah cukup untuk bagi ruang bernafas.
4. Kalau ada aset yang boleh dilepaskan, lepaskan
Kalau ada benda yang boleh dijual untuk dapatkan duit tambahan, pertimbangkan.
Gunakan duit tu untuk:
bayar hutang
tampung perbelanjaan keperluan
tambah cash buffer
Dalam waktu macam ni, cash lebih penting daripada gaya hidup.
5. Kalau dah tak mampu sangat, pergi AKPK
Kalau dah betul-betul tersepit, jangan tunggu sampai keadaan makin parah. Pergi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan minta bantuan untuk restructure hutang.
Ya, kesannya mungkin:
susah nak buat hutang baru
akses kredit akan jadi lebih ketat
Tapi terus terang cakap…
Dalam keadaan macam ni, tak patut pun fikir nak tambah hutang baru.
6. Kalau ada conventional loan, pertimbangkan tukar ke Islamic financing
Yang ni ramai orang tak sedar. Kalau pinjaman conventional variable rate, bila OPR naik, bayaran bulanan boleh terkesan sebab kadar dia ikut bergerak.
Tapi untuk Islamic financing, biasanya ada kadar siling (ceiling rate).
Maksudnya:
Kalau OPR naik, kadar pembiayaan memang boleh naik juga…
Tapi ada had maksimum setakat kadar siling tu.
Berbeza dengan conventional loan, yang secara umumnya tak ada konsep kadar siling yang sama, jadi risiko kenaikan kadar tu boleh jadi lebih terbuka.
Mudah cerita:
Bukan maksud Islamic financing confirm murah.
Tapi dari sudut pengurusan risiko bila kadar naik, sekurang-kurangnya ada “bumbung” yang jelas.
Itu pun kena tengok balik:
struktur pembiayaan
kadar semasa
baki tempoh pinjaman
kos tukar pembiayaan
Jangan tukar membuta tuli. Kira dulu. Faham dulu. Baru buat keputusan.
Kesimpulannya, saya bukan nak suruh panik. Saya cuma nak cakap…
Kalau worst case scenario jadi, orang yang paling awal rasa sakit bukan orang yang tak melabur. Orang yang paling awal rasa sakit adalah orang yang cashflow sempit dan hutang tinggi.
Dalam keadaan dunia tak menentu macam ni:
jangan tambah hutang
jaga cashflow
kurangkan komitmen
lindungi keperluan asas
dan sediakan plan B sebelum keadaan jadi lebih teruk
Bila dunia tak stabil, disiplin kewangan jadi benteng pertama.
