Tadi terbaca satu perkongsian dari Nurshaiyana. Dia kata ada orang dapat STR RM300, tapi bila pergi bazaar Ramadan terus habis. Lepas tu mula cakap,
“Kalaulah dapat RM1,000, bolehlah merasa shopping raya sikit.”
Bila baca tu, aku terfikir satu benda. Kadang-kadang masalahnya bukan pada jumlah yang kita dapat, tapi pada cara kita melihat apa yang kita terima.
Kalau dapat RM300, sebenarnya kita patut bersyukur.
Sepatutnya rasa syukur sebab ada juga bantuan yang masuk.
Tapi realitinya, manusia ni memang mudah jadi macam peribahasa: bila dah dapat betis, nak peha.
Ini bukan cerita STR sahaja. Dalam kehidupan pun sama.
Bagi diskaun sikit, orang tanya boleh kurang lagi tak.
Bagi bantuan sikit, orang tanya ada tambahan lagi tak.
Bagi peluang sikit, orang tanya boleh dapat lebih lagi tak.
Pengalaman aku sendiri pun sama. Bila kita bagi sesuatu dekat orang, selalunya itu akan jadi baseline baru. Lepas tu permintaan akan naik lagi.
Bukan semua orang macam tu. Tapi memang ramai yang begitu. Sebab itu, kadang-kadang kita kena ingatkan diri sendiri satu perkara:
Apa yang kita dapat hari ini, dulu mungkin pernah kita doa untuk dapat.
RM300 mungkin nampak kecil kalau dibandingkan dengan apa yang kita nak. Tapi bagi sesetengah orang, RM300 itu cukup untuk isi minyak motor sebulan, beli barang dapur beberapa minggu, atau tambah sikit duit raya untuk anak-anak.
Kadang-kadang yang kita perlukan bukan lebih duit.
Yang kita perlukan sebenarnya lebih rasa cukup.
