Dia pernah mesej saya setahun lalu. Cuma satu soalan ringkas:
“Berapa harga servis financial planning?”
Lepas tu, senyap.
Saya anggap mungkin belum bersedia, dan itu biasa. Ramai yang tanya sekadar nak tahu, belum sampai masa untuk bertindak.
Setahun kemudian, mesej lain masuk. Kali ni nadanya berbeza.
“Saya baru kena VSS. Saya nak pastikan kewangan saya masih stabil. Boleh kita mula?”
Kami pun buat sesi discovery seperti biasa.
Masa tu, saya nampak sendiri keletihan dalam wajah dan suaranya. Bila seseorang kehilangan kerja selepas lebih 10 tahun, banyak benda tiba-tiba jadi kabur.
Macam mana nak terus bayar rumah dan kereta?
Cukup tak simpanan yang ada?
Kalau nak cari kerja baru, perlu dapat gaji berapa untuk terus kekal stabil?
Kalau tak kerja langsung, sampai bila boleh bertahan?
Dan macam mana pula dengan pelan-pelan lain, contohnya nak pergi haji, pendidikan anak, persaraan, semuanya perlu disemak semula.
Kami lalui proses tu satu demi satu. Daripada situasi yang nampak kusut, kami susun semula supaya dia nampak gambaran penuh. Apa yang boleh dikawal, apa yang perlu dilepaskan, dan apa langkah realistik untuk tempoh terdekat.
Bila laporan kewangan siap, dia masih nampak ragu-ragu. Katanya nak ambil masa untuk baca dan fikir dulu. Seminggu kemudian, dia mesej semula.
Dia kata laporan tu dah jelas tapi cuma nak saya bantu tambah satu senario:
“Kalau saya tak kerja terus, macam mana keadaan kewangan saya nanti?”
Saya senyum masa baca mesej tu. Dalam hati, saya dah agak dia akan tanya soalan tu. Sepanjang sesi sebelum ni pun, saya boleh rasa dia sebenarnya burned out dengan kerja lama.
Kami buat senario tu, bentangkan dan jelaskan kesannya. Bila selesai, saya nampak wajah dia lebih tenang. Kali pertama saya nampak senyuman kecil di hujung sesi.
Beberapa bulan kemudian, kami jumpa semula untuk semakan. Dan masa tu, dia bukan lagi orang yang sama. Nada suaranya lembut, senyumannya natural, dan dia nampak benar-benar stabil.
Dia cerita yang sekarang dia buat bisnes kecil-kecilan dari rumah. Katanya dia enjoy dengan apa yang dia buat. Dia bukan saja stabil secara kewangan, tapi juga lega secara emosi.
Bila saya tengok dia hari tu, saya teringat balik sebab kenapa saya buat kerja ni. Perancangan kewangan bukan sekadar tentang nombor atau graf. Ia tentang bantu seseorang cari semula rasa tenang bila hidup berubah arah.
Kadang-kadang, kehilangan bukan pengakhiran.
Ia cuma peluang untuk mula semula — kali ni dengan lebih sedar, dan lebih terancang.
