rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Nak Jimat, Kena Ada Kemampuan Dulu?

Semalam saya jumpa seorang klien financial planning saya yang dah engage saya nak masuk dua tahun. Dia dah hampir setahun lebih dia kerja luar KL dan berjauhan dengan keluarga. Sekarang dia baru balik semula, dan nampak ada sinar baru dalam nada suara dia bila bercerita tentang hidup dan kewangan.

Topik utama kami masih sama macam dulu iaitu cashflow. Bukan sebab dia ada masalah besar, tapi sebab selama ni, semuanya sekadar cukup-cukup makan. Tak sampai negatif, tapi tak ada lebihan yang boleh disimpan untuk masa depan.

Cuma kali ni, ceritanya lain sikit. Dia baru dapat berita yang rumah dia ada orang nak beli. Dah bayar booking pun. Bila urus niaga selesai nanti, dijangka hujung Januari, cashflow dia akan berubah ketara.

Daripada tiada lebihan langsung, bulan ni dia dah mula ada RM1,000 lebih sebulan sebab dia dah balik kerja dekat sini. Bila rumah terjual, dia akan jimat lagi RM2,000. Dan bila satu hutang personal loan selesai, sebab dia akan ada lebihan dari jual rumah tu akan lepas lagi hampir RM1,000.

Dalam masa beberapa bulan saja, dia akan ada lebihan sekitar RM4,000 sebulan. Daripada tak ada lebihan, kepada RM48,000 setahun.

Masa kami sembang, saya cakap dengan dia, bila lebihan dah mula ada, langkah seterusnya bukan sekadar “menyimpan”, tapi mengoptimumkan.

Contohnya, masukkan RM8,000 ke SSPN dan RM3,000 ke PRS. Bukan saja bantu bina simpanan dan pelaburan, tapi juga kurangkan cukai hampir RM2,750 setahun atau lebih kurang RM250 sebulan.

Dan waktu tu, saya tersenyum sendiri. Sebab saya sendiri baru beli dryer baru sebab nak jimat bil elektrik.

Dari situ saya sedar, ada satu tema yang konsisten dalam semua cerita ni. Nak jimat, selalunya kena ada kemampuan dulu.

Nak jimat elektrik, kena mampu beli dryer atau peti sejuk inverter.

Nak jimat cukai, kena mampu menyimpan dan melabur.

Nak jimat beli kasut atau pakaian, kena mampu beli yang berkualiti, supaya tahan lama.

Nak jimat kesihatan, kena mampu makan makanan sihat, bersenam, dan ambil takaful.

Nak jimat belanja dapur, kena mampu beli barang pukal, bukan beli satu-satu.

Semua bentuk penjimatan sebenar memerlukan modal untuk berjimat. Pelik kan.

Dan inilah hakikat yang ramai orang terlepas pandang. Inilah sistem kewangan kita sekarang ni. Nak jimat kena ada kemampuan dulu. Ramai cuba nak berjimat, padahal fasa kewangan mereka belum sampai ke tahap tu lagi. Mereka masih dalam fasa membina kemampuan untuk mampu berjimat.

Sama seperti kita tak boleh terus berlari kalau belum mampu berjalan, begitu juga dalam kewangan. Kadang-kadang, kita bukan belum pandai urus duit, cuma kita masih dalam proses bina ruang supaya duit tu boleh diurus dengan lebih baik.

Jadi untuk sesetengah orang, “berjimat” bukan matlamat pertama. Matlamat pertama ialah membina kemampuan untuk mula berjimat.

Dan masa saya tengok wajah klien tu masa dia cakap,

“Nampak macam lega sikitlah sekarang, Rafiq,”

saya tahu ini lebih daripada sekadar kiraan duit di atas kertas.

Ini tentang rasa lega bila hidup mula ada ruang.

Bila tak perlu fikir setiap minggu cukup tak untuk habis bulan. Bila setiap ringgit lebihan bukan lagi sumber tekanan, tapi peluang untuk rancang masa depan dengan lebih tenang.

Kadang-kadang, itulah kemenangan sebenar dalam perjalanan kewangan seseorang. Bukan bila dah kaya — tapi bila mula rasa lega semula. 🌤️

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *