rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Teori Kewangan Cantik di Atas Kertas, Tapi Realiti Tak Selalu Begitu.

Kadang-kadang, bila kita tengok keputusan kewangan orang lain, nampak mudah, “patut buat ni”, “tak patut buat tu”.

Tapi bila dah duduk dalam situasi sebenar, dengan tekanan hutang, aliran tunai yang sempit, dan emosi yang terlibat… barulah kita faham kenapa teori tak selalu boleh pakai bulat-bulat.

Terbaca dua hari lepas, ada seorang CFP di US yang tak setuju dengan nasihat Dave Ramsey kepada seorang pendengar yang tengah ada hutang kad kredit.

Nasihat Dave:

Kurangkan caruman 401(k) (lebih kurang macam KWSP kita) supaya boleh cepat selesaikan hutang kad kredit.

CFP tu tak setuju. Katanya, bila seseorang kurangkan caruman 401(k), dia akan hilang employer matching iaitu pulangan 100% yang dijamin.

Kalau banding dengan faedah hutang kad kredit sekitar 20–30%, secara teori memang nampak rugi untuk lepaskan pulangan yang lebih tinggi tu.

Tapi bagi saya, benda ni kena tengok keadaan sebenar dulu.

Kalau seseorang tu sekarang dah defisit setiap bulan,

hutang makin menimbun, dan setiap bulan pun dah tak cukup nak tampung komitmen, masa tu jangan fikir dulu pasal “rugi masa depan.”

Fikir dulu macam mana nak selamatkan diri sekarang.

Kadang-kadang, keputusan yang nampak “salah” atas kertas, sebenarnya langkah paling betul untuk keadaan semasa.

Saya sendiri pernah nasihatkan klien untuk:

– guna duit pelaburan atau EPF untuk betulkan aliran tunai,

– atau batalkan sementara polisi takaful (jika ada perlindungan daripada majikan), semata-mata untuk stabilkan kewangan dan selesaikan hutang kritikal.

Tapi saya akan beritahu siap-siap yang langkah ni bukan penyelesaian kekal. Ia macam panadol.

Rawat simptom dulu.

Bila keadaan dah stabil, baru kita fokus kepada punca sebenar supaya masalah tu tak berulang.

Sebab dalam perancangan kewangan, tujuan utama bukan nak tunjuk siapa paling “tepat ikut teori.”

Tujuan kita ialah bantu orang yang tengah lemas,

supaya dia boleh bernafas semula dan mulakan semula dengan lebih teratur.

Macam kes kecemasan perubatan, masa tengah emergency, langkah yang diambil tak sama dengan rawatan biasa.

Yang penting: selamatkan dulu.

Kadang teori kewangan nampak sempurna bila situasi tenang. Macam sehari trading untuk RM 1,000, kita terus project kata sebulan boleh untung RM 30,000 lepas tu terus buat keputusan untuk berhenti kerja.

Tapi bila dah masuk zon kecemasan — yang penting bukan siapa betul, tapi siapa yang masih boleh bertahan.

Kalau anda dalam situasi ni, apa langkah pertama yang anda akan ambil?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *