rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk nak sampai ke puncak, sampai terlupa menghargai perjalanan kita.

Semalam jumpa seorang klien. Business owner. Dah lebih 3 tahun aku bekerja dengan dia.

Masa tengah berbual, dia cerita yang dia ada tanya ChatGPT macam mana nak dapatkan 10% margin daripada bisnes dia.

Antara jawapan yang dia dapat ialah kena increase revenue sebanyak 10% setiap tahun.

To be honest, aku rasa isu bisnes dia sebenarnya bukan revenue.

Ada dua perkara yang lebih besar.

Pertama, kesilapan-kesilapan lama yang berlaku sejak awal perniagaan menyebabkan setiap kali ada lebihan duit, duit tu macam tak nampak. Ada sahaja benda yang perlu diselesaikan.

Kedua, dari segi accounting dan cash flow.

Tahun ni sahaja, dia dah bayar balik hampir RM400k kepada investor. Duit yang sebelum ni digunakan untuk beli aset, selesaikan hutang-hutang lama dan sebagainya.

Maksudnya, ada lebihan daripada operasi bisnes yang digunakan untuk menyelesaikan komitmen-komitmen terdahulu.

Jadi, sebenarnya bukan bisnes dia tak ada margin atau tak buat duit.

Cuma sekarang ni, dia masih dalam proses untuk membetulkan keadaan dan mengukuhkan kedudukan kewangan bisnes.

Kalau dia teruskan trajectory sekarang, insya-Allah tahun depan dia dah boleh mula pegang duit hasil daripada bisnes dia sendiri.

Aku ingatkan dia balik keadaan bisnes dia masa mula-mula kami bekerja bersama dulu.

– Sewa ofis tertunggak.

– TNB pernah datang potong bekalan elektrik.

– KWSP tertunggak.

– Gaji sendiri selalu tak dibayar, sampai kewangan peribadi pun terjejas.

– Bayaran kepada supplier selalu delay.

– Dan macam-macam lagi.

Tapi sekarang?

Semua benda tu dah tak berlaku.

Dah lebih setahun, nak masuk dua tahun, dia boleh bayar gaji sendiri setiap bulan secara konsisten.

Komitmen-komitmen lain pun dah selesai.

Bukankah itu satu pencapaian?

Aku bagi dia satu analogi.

Pernah tak korang pergi hiking dengan orang yang dah expert?

Bila kita tanya, “Berapa jauh lagi nak sampai?”

Dia jawab, “5 minit lagi.”

Padahal sebenarnya mungkin sejam lebih lagi nak sampai destinasi.

Bukan sebab dia nak menipu kita.

Tapi kalau dia cakap masih sejam lagi, mungkin motivasi kita terus hilang. 😂

Begitulah juga dalam kehidupan dan bisnes.

Kita memang kena ada goal. Kena tahu destinasi yang kita nak tuju.

Tapi dalam masa yang sama, jangan sampai kita terlalu fokus kepada destinasi sehingga kita tak nampak dan tak menghargai perjalanan yang sedang kita lalui.

Bayangkan kita tengah mendaki Gunung Kinabalu.

Memang akan ambil masa. Memang penat. Memang ada masa kita rasa macam tak larat nak teruskan.

Kalau sepanjang perjalanan kita hanya fokus kepada berapa jauh lagi nak sampai, berapa banyak tenaga dah habis, berapa sakit kaki dan berapa penat badan, mungkin kita tak akan menikmati pengalaman tersebut.

Tapi cuba ubah perspektif.

Kita sedang mendaki gunung tertinggi di Malaysia.

Kita dapat tengok keindahan alam semula jadi, hutan, awan dan pemandangan yang mungkin tak pernah kita lihat sebelum ni.

Kita tahu ada satu pemandangan yang jauh lebih indah menanti di puncak.

Tiba-tiba pengalaman mendaki tu jadi berbeza.

Bukan bermaksud kita tak perlu sampai ke puncak.

Cuma kita belajar untuk menikmati perjalanan sementara kita berusaha sampai ke sana.

Dalam bisnes pun sama.

Nak jadi lebih baik bukan kerja sehari dua.

Kadang-kadang kita perlukan bertahun-tahun untuk betulkan kesilapan lama, selesaikan komitmen terdahulu, bina semula cash flow dan kukuhkan foundation.

Ada masa, kita tak nampak duit yang kita buat sebab duit tu sedang digunakan untuk membetulkan perkara yang sepatutnya dah lama diselesaikan.

Tapi itu tak bermaksud kita tak bergerak ke hadapan.

Jangan terlalu cepat rasa gagal hanya sebab kita belum sampai ke destinasi.

Jangan terlalu tak sabar sampai kita mula mencari shortcut.

Sebab kadang-kadang, dalam keinginan kita nak cepat sampai, kita terlepas pandang banyak perkara penting yang sebenarnya sedang kita bina sepanjang perjalanan.

Progress bukan semata-mata tentang berapa banyak duit yang kita dah kumpul, berapa besar bisnes kita dah jadi atau sejauh mana kita dah sampai.

Kadang-kadang, progress itu adalah apabila masalah yang dulu selalu menghantui kita, satu demi satu dah tak lagi menjadi masalah.

And that’s worth celebrating too.

Enjoy the journey. The summit will come, insya-Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *