Dah lebih 6 tahun sejak MCO pertama dilaksanakan.
Tapi sebenarnya, impak kewangan daripada keputusan yang dibuat masa tu baru sekarang ramai orang mula sedar dan rasa.
1. Moratorium
Saya tak nafikan langsung moratorium memang banyak membantu ramai orang yang betul-betul terkesan masa COVID dulu.
Ada yang hilang kerja. Ada yang gaji dipotong. Ada yang bisnes langsung tak boleh beroperasi.
Moratorium bagi ruang bernafas. Duit yang sepatutnya digunakan untuk bayar ansuran boleh digunakan untuk perbelanjaan harian atau perkara yang lebih mendesak.
Tetapi sekarang, ramai pula yang terkejut bila tengok baki hutang dengan bank macam tak bergerak.
Saya sendiri nampak perkara ni pada ramai klien.
Malah ada yang baki hutangnya lebih tinggi daripada sebelum moratorium.
Sebenarnya benda ni memang telah dimaklumkan dari awal.
Yang ditangguhkan hanyalah bayaran bulanan. Kadar faedah atau keuntungan masih terus dikenakan sepanjang tempoh moratorium.
Jadi memang logiklah baki hutang akan meningkat.
Akibatnya, tempoh pembiayaan menjadi lebih panjang atau ansuran bulanan menjadi lebih tinggi selepas itu.
Sebab itu dari dulu lagi saya selalu beritahu klien…
Kalau tak ada keperluan, jangan ambil moratorium.
Tetapi kalau memang terdesak dan tiada pilihan, ambillah.
Survival ketika itu lebih penting.
2. Pengeluaran KWSP
Masa saya ditemu bual oleh TV3 dulu, saya cakap…
Kalau tak ada keperluan, jangan keluarkan duit KWSP.
Sebab duit itu memang untuk persaraan.
Lepas interview tu, memang saya kena kecam berjemaah.
Macam-macam makian saya terima.
Hari ini, kita dah mula nampak kesannya.
Ramai yang Akaun 2 dah kosong.
Akaun 3 pun dah habis.
Akaun Persaraan pula masih belum pulih daripada pengeluaran yang dibuat ketika COVID.
Kesan ini bukan sangat dirasai sekarang.
Ia akan dirasai 20 atau 30 tahun lagi apabila tiba waktu bersara.
Tetapi saya juga faham…
Kalau seseorang keluarkan KWSP sebab memang terpaksa, hilang pendapatan atau nak bagi keluarga terus makan, saya tak pernah kata itu salah.
Masa itu memang tiada pilihan.
Yang saya risau ialah mereka yang keluarkan duit semata-mata untuk berbelanja, tukar sport rim, shopping, bercuti atau melabur dalam skim yang akhirnya menjadi scam.
3. Dana kecemasan habis
Ramai menggunakan simpanan kecemasan ketika MCO.
Itulah sebenarnya tujuan dana kecemasan diwujudkan.
Masalahnya…
Selepas ekonomi pulih, ramai yang masih belum membinanya semula.
Bila berlaku kecemasan baru, akhirnya terpaksa berhutang sekali lagi.
4. Hutang jangka pendek meningkat
Ramai juga yang bergantung kepada kad kredit, personal financing dan pelbagai bentuk pinjaman untuk teruskan kehidupan ketika MCO.
Masa tu ia menyelesaikan masalah.
Tetapi hutang itu masih perlu dibayar sehingga hari ini.
Ada yang DSR masih tinggi disebabkan hutang yang diambil ketika pandemik.
Hakikatnya…
Kita tak boleh ubah keputusan yang dibuat enam tahun lepas.
Tetapi kita masih boleh baiki keadaan hari ini.
Kalau KWSP dah berkurang, mula tambah semula.
Kalau dana kecemasan dah habis, mula bina semula.
Kalau hutang dah bertambah, mula buat pelan untuk mengurangkannya.
Krisis akan datang mungkin dalam bentuk yang berbeza.
Tetapi kalau kita belajar daripada pengalaman MCO, insya-Allah kita akan lebih bersedia apabila ia berlaku lagi nanti.
