Saya terbaca satu artikel dari Amerika yang menarik.
Seorang pesara berusia 62 tahun dengan aset sekitar USD7 juta berkata dia tidak mahu membayar financial planner berdasarkan peratusan aset (AUM).
Bukan sebab dia tak percaya kepada financial planner.
Tetapi sebab dia hanya perlukan seseorang untuk semak perancangannya setiap enam bulan.
Pelaburan dia dah tersusun.
Pelan persaraan dah ada.
Strategi cukai pun dah dirancang.
Apa yang dia perlukan hanyalah second opinion daripada seorang pakar.
Saya rasa situasi ini semakin relevan di Malaysia.
Ramai orang masih beranggapan tugas financial planner adalah untuk:
– pilih unit trust,
– urus pelaburan,
– atau cari pulangan paling tinggi.
Hakikatnya, apabila seseorang semakin berpengalaman mengurus kewangan sendiri, perkara yang lebih bernilai bukan lagi memilih pelaburan.
Sebaliknya, mereka mahukan kepastian bahawa keputusan yang dibuat adalah betul.
Contohnya:
• Bila masa sesuai untuk keluarkan simpanan KWSP?
• Berapa banyak yang selamat dibelanjakan setiap bulan selepas bersara?
• Perlukah simpan wang dalam syarikat atau keluarkan sebagai dividen?
• Patutkah bayar habis pinjaman rumah atau terus melabur?
• Perlukah buat hibah, wasiat atau trust?
• Adakah portfolio sekarang cukup untuk bertahan 30 tahun selepas bersara?
Soalan-soalan ini tidak dijawab dengan memilih dana pelaburan yang “terbaik”.
Ia memerlukan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Sebab itu saya percaya industri ini sedang berubah.
Dulu, ramai mendapatkan nasihat kewangan kerana mahu membeli sesuatu produk.
Hari ini, semakin ramai sanggup membayar untuk nasihat, walaupun akhirnya mereka sendiri yang melaksanakan pelan tersebut.
Mereka tidak mencari seseorang untuk menguruskan wang mereka.
Mereka mencari seseorang yang boleh memberi pandangan objektif, mengesahkan strategi yang dirancang, dan mengenal pasti blind spot yang mungkin mereka terlepas pandang.
Bagi saya, itulah nilai sebenar seorang financial planner.
