Sebagai seorang ayah, aku rasa benda ni antara perkara yang patut kita fikir dan bincangkan.
Aku teringat dulu, masa aku masih sekolah, arwah Babah aku pernah panggil kami adik-beradik dan beritahu yang dia takdak banyak harta nak tinggalkan untuk kami semua.
Tapi dia akan pastikan kami semua belajar sampai habis degree.
At least, bila dah dewasa nanti, kami boleh dapat kerja, ada pendapatan sendiri dan mampu tanggung keperluan masing-masing.
Alhamdulillah, semua adik-beradik aku habis belajar degree. Ada yang sambung sampai Masters (aku tak, aku malas belajar
).
Masing-masing pun dapat kerja yang baik dan boleh sara kehidupan sendiri. Tak perlu sampai kena meminjam duit daripada orang lain untuk teruskan hidup.
Itu pun satu rezeki yang besar.
Pandangan aku sebagai seorang ayah pun lebih kurang sama.
Aku fokus untuk pastikan anak-anak aku habis belajar sampai degree.
Seorang dah masuk universiti, seorang lagi baru nak habis Form 3.
Duit untuk sambung belajar pun aku dah sediakan. Jadi, dari segi kewangan, insya-Allah tak ada kekangan untuk mereka habiskan pengajian nanti.
Tapi pasal results, itu tanggungjawab mereka sendiri.
Sampai bila parents nak kena sediakan semuanya untuk anak-anak? Kena juga belajar berdikari.
Lepas habis degree dan mula bekerja nanti, aku sebenarnya okay kalau mereka nak duduk rumah dulu.
Sekurang-kurangnya, boleh jimat duit sewa dan mula kumpul duit gaji sendiri untuk beli rumah, kereta, belanja kahwin dan sebagainya.
Aku sendiri dulu masa belajar pun dah mula simpan duit hasil kerja sendiri. Tak minta duit daripada parents untuk semua benda tu.
Tapi bila aku bincang dengan wife, dia ada pandangan berbeza.
Dia rasa lepas habis belajar dan mula bekerja, anak-anak patut keluar duduk sendiri, walaupun menyewa.
Supaya mereka belajar berdikari dan mengurus kehidupan sendiri.
Ada betulnya juga pandangan dia. ![]()
Tapi itu perbincangan kami sebagai parents. Masing-masing ada cara dan pendekatan sendiri.
**Berbalik kepada persoalan asal, wajib ke parents tinggalkan harta pusaka untuk anak-anak?**
Personally, aku ada perancangan hidup aku sendiri.
Aku yang bekerja dan berusaha untuk mendapatkan apa yang aku ada hari ini. Jadi, aku rasa aku juga ada hak untuk menikmati hasil usaha aku.
Nak travel, nak makan sedap, nak bersedekah atau nak belanja untuk diri sendiri, itu pilihan aku selagi aku mampu dan tak mengabaikan tanggungjawab.
Kalau ada lebihan harta selepas aku takdak nanti, itu rezeki anak-anak aku.
Macam arwah Babah aku juga. Dia pernah cakap tak banyak harta nak ditinggalkan, tapi akhirnya ada juga harta pusaka yang kami terima.
Alhamdulillah, itu rezeki kami.
Tapi kalau anak-anak perlukan bantuan semasa aku masih hidup, dan aku mampu nak bantu, kenapa tidak?
Aku juga ada klien yang memang merancang untuk menyediakan sejumlah wang bagi membantu anak-anak mereka ketika masih muda. Bukan tunggu melalui pusaka.
Ada yang nak bantu anak beli rumah, ada yang nak sediakan modal perniagaan, ada yang nak bantu mereka mulakan kehidupan selepas habis belajar.
Itu juga satu bentuk perancangan.
Mereka buat begitu sebab mereka mampu dan itu memang antara matlamat kewangan mereka.
Tak ada satu cara yang betul untuk semua orang.
Cuma satu perkara yang aku selalu fikirkan.
Ramai parents sekarang merupakan generasi sandwich.
Dalam masa yang sama, mereka kena fikir tentang keperluan dan penjagaan parents sendiri, besarkan anak-anak, sediakan pendidikan, bayar komitmen dan kumpul duit untuk persaraan sendiri.
Kadang-kadang, sampai tak sempat nak fikir tentang kehidupan sendiri.
Bagi aku, antara hadiah terbaik yang kita boleh berikan kepada anak-anak ialah memastikan mereka mampu berdikari dan tidak perlu menanggung beban kewangan kita apabila kita dah tua nanti.
Kalau kita mampu tinggalkan harta pusaka, Alhamdulillah.
Kalau kita mampu bantu mereka beli rumah atau mulakan kehidupan, Alhamdulillah juga.
Tapi kalau kita tak mampu tinggalkan harta yang banyak, jangan sampai kita korbankan keselamatan kewangan dan persaraan sendiri semata-mata nak pastikan anak-anak dapat harta pusaka.
Sebab anak-anak pun ada kehidupan mereka sendiri yang perlu dibina.
Dan kalau mereka dapat parents yang tak perlu mereka tanggung dari segi kewangan apabila dah dewasa nanti, itu pun satu rezeki.
Mereka boleh fokus kepada kehidupan, pasangan dan keluarga mereka sendiri.
Akhirnya, bagi aku, tanggungjawab parents bukan semata-mata untuk kumpul harta sebanyak mungkin supaya boleh diwariskan kepada anak-anak.
Tetapi untuk menyediakan mereka supaya mampu meneruskan kehidupan sendiri, walaupun suatu hari nanti kita dah tak ada.
Harta pusaka itu bonus.
Kemampuan untuk berdikari itu bekalan.
