Semalam aku jumpa seorang klien yang sekarang berada di peringkat akhir urusan harta pusaka arwah pasangan dia.
Dokumen utama dah selesai. Tinggal satu langkah terakhir, iaitu nak agihkan aset yang masih ada.
Wasiat arwah ni bukan aku yang sediakan.
Kalau kes ni datang kepada aku dari awal, pendekatan aku biasanya lebih straight forward. Aku akan bincang dengan klien tentang pembahagian mengikut faraid terlebih dahulu.
Kalau ada hasrat nak beri lebih kepada individu tertentu, kita boleh bincangkan kaedah lain yang sesuai supaya hasrat tu dapat dilaksanakan dengan lebih jelas, telus dan tak menimbulkan kekeliruan kepada waris kemudian hari.
Sebab bagi aku, perancangan harta pusaka bukan bermula dengan soalan nak ambil produk apa.
Selalunya bila orang datang jumpa aku, soalan pertama mereka ialah:
“Perlu buat wasiat ke?”
“Perlu buat hibah ke?”
Sebenarnya, soalan yang lebih penting ialah:
1. Siapa yang patut menerima harta kita?
2. Berapa banyak yang setiap orang patut terima?
3. Bila mereka patut menerima harta tersebut?
Aku akan bincang tentang outcome yang klien nak capai terlebih dahulu.
Bila dah jelas siapa penerima, berapa bahagian masing-masing dan bila harta tu diperlukan, barulah kita tentukan cara terbaik untuk melaksanakannya.
Wasiat, hibah dan instrumen lain tu ialah kaedah. Bukan titik permulaan perancangan.
Berbalik kepada kes klien aku tadi.
Semalam, kami semak satu per satu senarai aset yang masih perlu diagihkan.
Bila aku tanya kenapa kandungan wasiat arwah dibuat sedemikian rupa, klien beritahu bahawa ejen yang menguruskan wasiat tu pernah menyatakan bahawa kita boleh menulis apa sahaja yang kita nak.
Pada aku, nasihat macam ni kurang lengkap.
Memang kita perlu faham hasrat seseorang. Tapi dalam perancangan harta pusaka, bukan sekadar apa yang kita nak tulis atas kertas yang penting.
Kita juga perlu fikir sama ada hasrat tersebut boleh dilaksanakan dengan betul, bagaimana prosesnya, siapa yang terlibat dan apa kesannya kepada setiap waris.
Kalau tidak, dokumen dah siap bertahun-tahun, tapi bila tiba masa nak melaksanakannya, waris pula pening kepala.
Dalam kes ni, aku dah kira bahagian setiap waris sekiranya pembahagian dibuat mengikut faraid.
Aku juga dah sediakan cadangan untuk dibincangkan bersama ibu bapa arwah tentang cara terbaik untuk meneruskan proses pembahagian.
Ini kerana berdasarkan pengiraan yang dibuat, jika mengikut pembahagian seperti yang dinyatakan dalam wasiat, ibu bapa arwah sebenarnya akan menerima bahagian yang lebih kecil berbanding pembahagian mengikut faraid.
Klien aku sendiri okay untuk meneruskan pembahagian mengikut faraid.
Kenapa?
Sebab arwah dah tinggalkan perlindungan melalui polisi takaful hayat. Hutang-hutang pun dah diselesaikan. Malah, ada pencen yang boleh membantu menampung kehidupan klien dan anak mereka.
Insya-Allah, berdasarkan keadaan yang kami bincangkan, pembahagian mengikut faraid pun tak sepatutnya menjejaskan kelangsungan hidup mereka.
Jadi, tak semestinya kita perlu berkeras melaksanakan sesuatu seperti yang tertulis dalam dokumen asal sekiranya ada pilihan lain yang lebih sesuai dan boleh dilaksanakan dengan baik.
Cuma, sebelum berjumpa ibu bapa arwah untuk memuktamadkan keputusan, aku cadangkan supaya klien berbincang terlebih dahulu dengan pegawai As-Salihin bagi merancang langkah seterusnya.
Biar prosesnya tersusun, semua pihak jelas dan pembahagian dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Sebab akhirnya, perancangan harta pusaka bukan sekadar tentang memastikan harta kita sampai kepada orang yang kita nak.
Ia juga tentang memastikan orang yang kita tinggalkan tak terbeban dengan masalah yang sebenarnya boleh kita elakkan semasa kita masih hidup.
Jangan sampai kita sibuk merancang siapa dapat apa, tetapi terlupa merancang bagaimana semuanya boleh dilaksanakan.
The question you should have asked:
Bukan sekadar “Perlu buat wasiat atau hibah?”
Tetapi, “Macam mana aku nak pastikan harta aku nanti sampai kepada orang yang sepatutnya, dalam jumlah yang sesuai, pada masa yang diperlukan, tanpa menyusahkan mereka yang aku tinggalkan?”
