rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

7 TAHUN BERSAMA. DAH MASUK REPORT KE-8. INI YANG AKU NAK DALAM HUBUNGAN DENGAN KLIEN.

Semalam aku present financial plan dekat sepasang couple yang dah engage dengan aku sejak tahun 2019.

Masa nak start session, aku bagitahu diaorang yang report kali ni dah report ke-8 yang aku bentangkan kepada mereka.

Maknanya, dah 7 tahun kita bersama dan sekarang nak masuk tahun ke-8.

Kalau mereka ada anak masa mula-mula jumpa aku dulu, mungkin sekarang anak tu dah masuk sekolah rendah. 😂

Bagi aku, inilah antara perkara yang aku paling suka dalam kerjaya sebagai financial planner.

Ideal engagement aku adalah hubungan yang berterusan dari mula kita berjumpa sampailah death do us part.

Bukan sebab aku ingat hubungan jangka panjang ni senang nak maintain.

Kahwin pun bukannya senang nak maintain sampai ke tua. Apatah lagi hubungan profesional yang melibatkan duit, kepercayaan dan keputusan hidup.

Kena ada usaha daripada kedua-dua belah pihak.

Klien kena komited dengan matlamat kewangan mereka. Financial planner pula kena terus memberikan nilai dan membantu mereka bergerak ke arah matlamat tersebut.

Kalau tepuk sebelah tangan, takkan berbunyi.

Jadi, kenapa aku suka hubungan jangka panjang dengan klien?

1. Aku dapat tengok sendiri perkembangan hidup mereka.

Couple yang aku jumpa semalam ni dulu datang dengan masalah kewangan.

Hari ini, keadaan kewangan mereka dah jauh lebih baik. Kehidupan dah lebih selesa.

Bila jumpa sekarang, boleh senyum, boleh gelak dan bergurau sepanjang session.

Jarang dah kita duduk berbincang tentang masalah yang perlu diselesaikan. Sebaliknya, kita bincang tentang masa depan, peluang dan apa lagi yang mereka nak capai.

Termasuklah perbincangan tentang bila mereka boleh berhenti kerja lebih awal daripada yang dirancang sebelum ini.

Kenapa?

Sebab mereka dah berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat kewangan mereka.

Bila kewangan semakin stabil, bukan setakat akaun bank yang berubah.

Keadaan mental dan psikologi pun boleh jadi lebih baik apabila satu lagi beban besar dalam kehidupan dah dapat dikawal.

Daripada sibuk fikir macam mana nak survive, sekarang boleh fikir macam mana nak menikmati kehidupan.

Dan bagi aku, dapat menyaksikan perubahan tu sendiri memang satu kepuasan yang susah nak digambarkan.

2. Kita bukan sekadar tahu perkembangan kewangan mereka. Kita turut menyaksikan perjalanan hidup mereka.

Ada klien yang aku jumpa ketika masih bujang.

Kemudian berkahwin.

Kemudian dapat anak.

Anak membesar, masuk universiti, mula bekerja dan akhirnya berkahwin pula.

Ada yang pada awalnya bekerja di peringkat bawah, kemudian naik tangga korporat dan memegang jawatan lebih tinggi.

Ada pemilik bisnes yang dulu pening kepala memikirkan cash flow dan keuntungan. Sekarang, apabila bisnes semakin stabil, mereka boleh mula memberikan lebih perhatian kepada kehidupan peribadi dan keluarga.

Kita bukan sekadar tahu angka dalam financial statement mereka.

Kita tahu apa yang sedang berlaku dalam kehidupan mereka, apa yang mereka risaukan dan apa yang mereka impikan.

Hari Khamis lepas pun ada klien lain yang bertanya pendapat aku tentang keputusan berkaitan pendidikan anak-anak mereka.

Benda macam ni menunjukkan hubungan dan kepercayaan yang dah dibina selama bertahun-tahun.

Kadang-kadang, bila masuk session dengan klien lama, rasa macam jumpa kawan.

Tapi jangan salah faham.

Bila hubungan dah rapat, itu bukan bermaksud kerja kita boleh dibuat sambil lewa. Sebaliknya, tanggungjawab kita jadi lebih besar.

Kita dah tahu perjalanan mereka selama ini. Kita tahu pengorbanan yang dah dibuat dan matlamat yang nak dicapai.

Sebab itulah kita kena lebih teliti dalam memberikan nasihat.

Satu keputusan kewangan yang tak sesuai boleh memberikan kesan kepada kehidupan yang kita dah sama-sama usahakan selama bertahun-tahun.

Kepercayaan yang dibina selama 7 tahun boleh hilang kalau kita ambil mudah tanggungjawab tersebut.

3. Dari sudut bisnes, hubungan jangka panjang juga lebih bermakna.

Aku selalu tertanya-tanya, kenapa kita perlu terlalu sibuk mencari orang baharu sedangkan kita masih boleh memberikan nilai kepada orang yang dah mempercayai kita?

Prospek baharu tak semestinya lebih baik.

Kita belum kenal mereka. Belum tahu cara mereka membuat keputusan. Belum tahu sejauh mana komitmen mereka untuk melaksanakan perancangan kewangan.

Sedangkan dengan klien sedia ada, kita dah membina kepercayaan dan memahami perjalanan hidup mereka.

Grass is not always greener on the other side.

Kadang-kadang, rumput lebih hijau di tempat yang kita sendiri rajin siram dan jaga.

Dari sudut perniagaan pun, hubungan jangka panjang membolehkan nilai yang kita berikan kepada klien berkembang dari tahun ke tahun.

Apabila kewangan mereka semakin kukuh, keperluan perancangan mereka juga mungkin berkembang.

Dulu mungkin fokus kepada cash flow, dana kecemasan dan perlindungan.

Kemudian beralih kepada pendidikan anak, pembelian rumah, pengumpulan aset, persaraan dan akhirnya pengagihan harta.

Kita bukan sekadar mengekalkan klien. Kita terus membantu mereka menyelesaikan cabaran kewangan yang berbeza pada setiap peringkat kehidupan.

Dan apabila kita melaksanakan kerja dengan ikhlas, memberikan nilai yang konsisten serta menjaga kepercayaan mereka, lifetime value hubungan tersebut akan terus berkembang.

Bukan semata-mata dari segi pendapatan perniagaan kita, tetapi juga dari segi impak yang kita boleh berikan kepada kehidupan mereka.

Bagi aku, kejayaan seorang financial planner bukan sekadar berapa ramai klien yang dia berjaya dapatkan setiap tahun.

Ia juga tentang berapa ramai klien yang masih memilih untuk berjalan bersama kita selepas 5, 10 atau 20 tahun.

Berapa ramai yang kita dapat bantu mencapai financial freedom.

Berapa ramai yang pada awalnya datang dengan masalah, akhirnya boleh duduk bersama kita dan berbincang tentang apa yang mereka nak buat dengan kehidupan mereka.

Dan berapa ramai yang mempercayai kita untuk terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.

Sebab akhirnya, financial planning bukan sekadar tentang nombor, pelaburan atau laporan yang kita bentangkan setiap tahun.

Ia tentang manusia, kehidupan dan hubungan yang kita bina sepanjang perjalanan tersebut.

Kalau ditanya apa yang aku nak untuk WVA dalam 10, 20 atau 30 tahun akan datang?

Aku nak tengok lebih ramai klien yang masih bersama kami, bukan sebab mereka terikat dengan kami, tetapi sebab mereka masih merasakan kami memberikan nilai dalam kehidupan mereka.

Dan kalau satu hari nanti mereka dah tak perlukan khidmat kami kerana mereka dah mencapai financial freedom, itu pun satu kejayaan.

Sebab matlamat kita bukan untuk membuatkan klien bergantung kepada kita selama-lamanya.

Matlamat kita adalah untuk membantu mereka mencapai kehidupan kewangan yang mereka inginkan.

Kalau mereka memilih untuk terus bersama kita sepanjang perjalanan itu, alhamdulillah.

Itulah hubungan jangka panjang yang aku nak bina.

Bukan sekadar client acquisition. Tapi client relationship. Bukan sekadar business transaction. Tapi kepercayaan yang dibina bertahun-tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *