Ada seorang hamba Allah tulis dekat media sosial yang dia tak faham kenapa lelaki bergaji RM3,000 tak boleh simpan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan. Dia sambung lagi, husband dia yang gaji RM2,500 pun boleh simpan lebih daripada tu.
Pada aku, kalau husband dia dengan gaji RM2,500 boleh simpan lebih RM1,000 sebulan, aku memang serius kagum. Kalau gaji RM1,500 pun masih boleh simpan lebih RM1,000, lagi lah aku nak belajar macam mana dia buat.
Sebab sepanjang aku jadi financial planner, aku dah jumpa macam-macam kes kewangan. Salah satu isu yang paling kerap aku nampak ialah orang susah nak menyimpan. Tak kisah gaji RM3,000, RM10,000 ataupun RM50,000.
Daripada pengalaman aku, orang yang susah nak menyimpan ni biasanya jatuh dalam beberapa kategori.
**Group 1 – Memang tak ada niat nak menyimpan.**
Bagi dia, hidup ni sementara. Selagi ada duit, selagi tu nak enjoy. Mindset dia, duit bukan boleh bawa masuk kubur pun.
Jadi perancangan jangka panjang memang bukan keutamaan. Selagi boleh belanja, dia akan belanja.
**Group 2 – Nak menyimpan, tapi komitmen terlalu banyak.**
Ada tanggungjawab kepada pasangan, anak-anak, ibu bapa, adik-beradik atau keluarga.
Kalau aku tengok klien-klien aku, yang masih single selalunya lebih cepat mencapai financial freedom berbanding yang dah berkeluarga.
Bukan sebab mereka lebih bijak semata-mata, tetapi komitmen mereka selalunya lebih rendah. Matlamat kewangan pun lebih sedikit. Bila dah ada anak, akan datang pula perancangan pendidikan, perlindungan keluarga dan macam-macam lagi.
**Group 3 – Rasa menyimpan, tapi sebenarnya tak menyimpan.**
Ada ASB Financing, potongan gaji, kutu, auto debit dan macam-macam.
Tapi bila tengok baki akaun, tak bergerak pun.
Aku pernah ada seorang kawan datang jumpa.
Dia kata,
“Rafiq, aku ada lebih RM500 sebulan. Hang boleh advise aku nak labur dekat mana?”
Aku tanya, “RM500 tu sekarang dekat mana?”
Dia jawab, “Tabung Haji.”
Aku tanya lagi, “Balance Tabung Haji sekarang berapa?”
Dia jawab, “Tak ada. Tiap-tiap bulan aku keluarkan balik.”
Aku tanya lagi, “Kad kredit macam mana?”
Dia jawab, “Max out. Bayar minimum je tiap-tiap bulan.”
Lepas kami semak satu-satu income dan perbelanjaan, rupa-rupanya dia bukan ada lebihan RM500.
Cashflow dia sebenarnya negatif hampir RM1,000 sebulan.
Aku cakap dekat dia,
“Hang belum sampai tahap sesuai nak invest. Betulkan cashflow dulu.”
**Group 4 – Menyimpan tanpa matlamat yang jelas.**
Mereka memang ada simpan duit.
Tapi tak tahu sebenarnya berapa yang diperlukan dan untuk apa.
Aku pernah ada seorang klien kerja atas kapal dekat UAE.
Pendapatan selepas convert hampir RM60,000 sebulan.
Lepas hampir 20 tahun bekerja, simpanan dia sekitar RM500,000.
Dia ingat itu dah cukup.
Masalahnya, dia tak ada KWSP.
RM500,000 itulah yang perlu tanggung persaraan, pendidikan anak-anak dan pelbagai matlamat lain.
Bila dia nampak gambaran sebenar, dia ubah gaya hidup dan susun semula kewangan.
Dia berjaya kurangkan perbelanjaan hampir RM20,000 sebulan.
Dalam tempoh setahun selepas kami buat perancangan, simpanan dia bertambah hampir RM250,000.
Bukan sebab gaji naik.
Tapi sebab dia akhirnya jelas kenapa dia perlu menyimpan.
**Group 5 – Gaji hari ini habis bayar perbelanjaan semalam.**
Golongan ini sebenarnya dah “membelanjakan” gaji masa depan.
Hutang terlalu banyak.
DSR dah maksimum, malah ada yang lebih sebab sekarang ada pula BNPL.
Bila gaji masuk, kebanyakannya terus habis bayar komitmen.
Lepas tu kena cari side hustle, OT atau tukar kerja semata-mata nak tambah pendapatan.
Bila income naik sikit, nafas lega sekejap.
Tak lama lepas tu, keadaan kembali sama sebab hutang pun bertambah.
Setiap tahun memang ada prospek datang jumpa aku dengan masalah macam ni.
Ramai penjawat awam, bukan sebab mereka lebih boros daripada orang swasta.
Tetapi akses kepada pembiayaan lebih mudah. Institusi kewangan melihat pendapatan mereka lebih stabil, siap ada potongan gaji, jadi lebih mudah pembiayaan diluluskan.
Sebab itu, aku kurang setuju bila kita buat kesimpulan mudah bahawa “kalau gaji RM3,000, mesti boleh simpan RM1,000.”
Mungkin boleh.
Mungkin juga tak boleh.
Kita tak tahu apa tanggungjawab yang dia pikul, keputusan kewangan yang pernah dia buat, atau kesilapan yang sedang dia cuba baiki.
Yang lebih penting bukan membandingkan berapa orang lain mampu simpan.
Tetapi memahami kenapa duit kita sendiri susah nak tinggal.
Sebab bila kita jumpa punca sebenar, barulah kita boleh cari penyelesaian yang betul.
Setiap orang boleh menyimpan.
Cuma jalan untuk sampai ke sana tak semestinya sama.
