rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Perancangan Kewangan Islam tengok perspektif selain dari nombor

Bila cakap pasal pengurusan atau perancangan kewangan secara holistik, selalunya memang kita akan tengok pada nombor.

Duit masuk dan keluar, berapa aset, berapa hutang, berapa pulangan pelaburan setahun, berapa nilai bersih (net worth), dan yang seangkatan dengannya.

Dan selalunya kita akan evaluate sama ada pengurusan kewangan kita semakin baik atau tidak berdasarkan macam mana nombor-nombor itu berubah dari tahun ke tahun.

Tetapi dalam Islamic Financial Planning, ada beberapa perkara yang tak boleh diukur dengan nombor semata-mata.

Ada perkara yang mungkin tak masuk dalam spreadsheet, tapi sebenarnya memberi kesan yang jauh lebih besar kepada kehidupan kita.

1. Keberkatan rezeki

Sumber rezeki mestilah datang daripada sumber yang halal.

Kalau kita menerima gaji setiap bulan tetapi datang daripada pekerjaan atau aktiviti yang haram atau syubhah, kita sepatutnya berusaha mencari sumber pendapatan yang lebih baik.

Begitu juga kalau kekayaan kita datang daripada rasuah, menganiaya orang lain, menidakkan hak orang lain, menipu, atau apa sahaja yang jelas dilarang oleh syarak.

Mungkin dari segi nombor kita nampak semakin kaya.

Tetapi bagi saya, harta yang tidak berkat tidak akan memberi ketenangan dan tidak akan benar-benar “melekat”.

Bagi saya, konsep keberkatan ini juga termasuk menjaga amanah dalam pekerjaan.

Contohnya menggunakan waktu pejabat untuk urusan peribadi tanpa kebenaran. Terlalu banyak melayari media sosial, membalas mesej peribadi, membuat panggilan telefon peribadi, keluar menyelesaikan urusan sendiri tanpa kebenaran, atau apa sahaja yang mengambil hak majikan tanpa sebab yang dibenarkan.

Ramai orang anggap perkara ini kecil.

Tetapi kalau kita dibayar untuk bekerja pada waktu tersebut, itu juga adalah amanah. Ia melibatkan hak orang lain.

Sebab itu saya melihat isu ini juga ada kaitan dengan keberkatan rezeki.

Begitu juga apabila kita memilih produk kewangan yang ingin dijual atau dipromosikan.

Sebagai contoh, insurans konvensional telah difatwakan tidak harus bagi orang Islam. Jadi sebagai seorang Muslim, kita perlu mengambil berat dari mana datangnya pendapatan kita dan memastikan pekerjaan serta produk yang kita tawarkan selari dengan prinsip syariah yang kita pegang.

Baru-baru ini saya juga terbaca ada ejen yang secara terbuka berkongsi bahawa beliau memilih untuk meninggalkan takaful dan menjual insurans konvensional kerana berpendapat produknya lebih baik.

Itu pilihan beliau.

Tetapi sebagai seorang Muslim, saya sendiri memilih untuk berpegang kepada prinsip syariah dalam pekerjaan saya.

Perkara yang sama juga terpakai dalam pelaburan.

Ada pelaburan yang menawarkan pulangan lebih tinggi, tetapi tidak patuh syariah.

Persoalannya, adakah kita sanggup mengorbankan prinsip semata-mata kerana mahu mengejar pulangan yang lebih tinggi?

Pada saya, keberkatan itu lebih penting daripada sekadar angka.

2. Zakat, sedekah, infak dan wakaf

Kalau kita benar-benar faham bahawa setiap harta yang kita miliki sebenarnya milik Allah, dan kita hanyalah pemegang amanah, insya-Allah kita tak akan terlalu berkira dalam bab menunaikan hak-hak tersebut.

Sebab itu, apabila saya membuat perancangan kewangan dengan klien Muslim, zakat memang antara topik yang wajib saya bincangkan.

Bukan sekadar macam mana nak kira zakat.

Tetapi lebih penting, supaya klien faham bahawa zakat bukan sekadar satu kewajipan ibadah, tetapi juga sebahagian daripada pengurusan harta yang baik.

Pada saya, topik ini bukan terhad kepada zakat sahaja.

Ia juga merangkumi sedekah, infak dan wakaf.

Semuanya melibatkan bagaimana kita menggunakan sebahagian daripada harta yang Allah amanahkan kepada kita untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Kalau kita tengok dari sudut matematik semata-mata, memang nampak macam harta akan berkurang.

Bayar zakat, duit keluar.

Bersedekah, duit keluar.

Berinfak, duit keluar.

Berwakaf, aset berpindah milik.

Secara kiraan nombor, semuanya mengurangkan harta.

Tetapi realitinya, sepanjang lebih 12 tahun saya menjadi financial planner dan melihat perjalanan kewangan ramai klien, saya perhatikan sesuatu yang menarik.

Ramai klien yang menjaga zakat mereka, tidak berkira untuk bersedekah dan sentiasa berkongsi rezeki dengan orang lain.

Dan apa yang saya nampak, bukanlah aset mereka semakin berkurangan.

Malah ramai yang Allah luaskan lagi rezeki mereka dengan pelbagai cara.

Mungkin perniagaan berkembang.

Mungkin peluang baru datang.

Mungkin kesihatan lebih baik.

Mungkin keluarga lebih harmoni.

Ada perkara yang tak boleh diukur hanya melalui spreadsheet atau penyata kewangan.

Sebab itu, dalam Islamic Financial Planning, kejayaan bukan sekadar berapa banyak kita kumpul.

Tetapi bagaimana kita memperoleh dan menggunakan harta tersebut.

3. Berbuat baik kepada ibu bapa dan keluarga

Sebenarnya perkara ini boleh sahaja dimasukkan sekali di bawah perkara kedua.

Termasuklah apabila kita tidak terlalu berkira dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang memerlukan, selagi kita sendiri mempunyai kemampuan.

Selalu juga bila saya berkongsi tentang kewangan, akan ada orang memberi komen,

“Belanja sahaja ibu bapa. Rezeki Allah yang tentukan.”

Saya setuju.

Memang rezeki Allah yang tentukan.

Tetapi dalam masa yang sama, Allah juga memerintahkan kita supaya berusaha dan merancang.

Perancangan kewangan tidak pernah bercanggah dengan agama.

Ia juga tidak bercanggah dengan konsep tawakal.

Rasulullah SAW sendiri mengajar supaya mengikat unta terlebih dahulu sebelum bertawakal kepada Allah.

Maksudnya, kita buat apa yang berada dalam kawalan kita terlebih dahulu.

Kemudian barulah kita berserah kepada Allah.

Sebab itu saya selalu kata kepada klien,

Merancang kewangan bukan bermaksud kita menentukan rezeki.

Merancang kewangan hanyalah mengurus amanah yang Allah pinjamkan kepada kita.

Selama lebih 12 tahun saya berkongsi tentang financial awareness dan perancangan kewangan, hampir setiap kali akan ada juga suara yang mengatakan bahawa merancang kewangan seolah-olah menidakkan hakikat bahawa rezeki datang daripada Allah.

Bagi saya, itu satu salah faham.

Kalau begitu logiknya, adakah orang yang belajar bersungguh-sungguh menidakkan bahawa ilmu datang daripada Allah?

Adakah orang yang berubat apabila sakit menidakkan bahawa kesembuhan datang daripada Allah?

Adakah petani yang menanam benih menidakkan bahawa hasil tuaian datang daripada Allah?

Sudah tentu tidak.

Mereka cuma melakukan usaha yang diperintahkan.

Begitu juga dengan kewangan.

Kita bekerja, menyimpan, melabur, mengambil perlindungan, membuat wasiat, membayar zakat, menyediakan dana kecemasan dan merancang persaraan.

Semuanya adalah usaha.

Hasil akhirnya tetap Allah yang tentukan.

Sebagai financial planner, tugas saya bukan menentukan rezeki seseorang.

Saya juga tidak boleh menjanjikan seseorang akan menjadi kaya.

Tugas saya hanyalah membantu mereka mengurus amanah yang Allah berikan dengan lebih baik.

Kalau akhirnya Allah melapangkan rezeki mereka, itu adalah kurniaan daripada-Nya.

Kalau diuji dengan kesempitan, perancangan yang baik juga membantu mereka menghadapi ujian itu dengan lebih tenang.

Pada akhirnya, bagi saya, kejayaan dalam perancangan kewangan Islam bukan sekadar melihat nombor semakin besar setiap tahun.

Tetapi memastikan setiap ringgit yang kita peroleh datang daripada sumber yang halal.

Hak Allah ditunaikan melalui zakat.

Hak manusia dijaga.

Ibu bapa dan keluarga tidak dilupakan.

Dan setiap keputusan kewangan membawa kita lebih dekat kepada Allah, bukan semakin jauh daripada-Nya.

Kalau semua itu dijaga, insya-Allah bukan sahaja kewangan kita lebih baik.

Mudah-mudahan hidup kita juga lebih diberkati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *