rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Perlindungan menyeluruh tapi berbayar dan membebankan bermaksud bukanlah perlindungan itu, tetapi sekadar servis.”

Saya rasa kita kena bezakan beberapa perkara.

Pertama, kenapa bila sesuatu perlindungan itu berbayar, terus dianggap bukan satu bentuk perlindungan?

Kalau kita upah security guard untuk jaga rumah atau premis, itu juga perlindungan. Security guard pun dibayar gaji. Takkan kita harap ada orang sanggup jaga keselamatan kita secara percuma?

Persoalan kedua pula, bolehkah kita jamin kita mampu membayar polisi sampai bila-bila?

Jawapannya, memang tak boleh.

Sama macam kita tak boleh jamin kita akan sentiasa sihat, sentiasa bekerja atau sentiasa ada pendapatan.

Sebab itu perancangan kewangan bukan tentang menghapuskan risiko. Ia tentang mengurangkan risiko dan menyediakan pilihan apabila keadaan berubah.

Di sinilah ramai yang keliru antara polisi hayat (Life/TPD) dengan polisi kemasukan hospital (Medical Card).

Kalau polisi hospitalisation lapse, biasanya waiting period akan bermula semula, tempoh incontestability akan reset, dan permohonan baru tertakluk kepada penilaian semula syarikat takaful atau insurans. Kalau kesihatan dah berubah, belum tentu permohonan baru diterima.

Tetapi bagi polisi Life atau TPD, situasinya berbeza.

Kalau benar-benar menghadapi kesempitan kewangan, ada keadaan di mana seseorang boleh berhenti dahulu dan mengambil semula perlindungan apabila keadaan kewangan kembali stabil. Memang sepanjang tempoh tiada polisi itu, tiada perlindungan. Tetapi sekurang-kurangnya kita faham apakah risiko yang sedang diambil.

Sementara itu, kalau masih bekerja, semak juga perlindungan yang disediakan oleh majikan. Paling asas pun, ada perlindungan SOCSO untuk kejadian yang layak di bawah skim tersebut.

Beberapa hari lepas, semasa annual review dengan seorang klien, datang seorang makcik menjual kuih.

Sambil berbual, beliau bercerita tentang kesusahan hidup yang sedang dilalui.

Selepas membeli satu balang kuih, isteri kepada klien saya berkata,

“Kasihan makcik ni. Kalaulah arwah suami dulu ada buat sedikit perancangan, mungkin hidup dia hari ini taklah sesusah ini.”

Saya terus teringat kepada dua orang klien saya yang meninggal dunia tahun lepas.

Kehilangan suami dan ayah memang tidak mungkin dapat diganti.

Tetapi kerana mereka berdua merancang lebih awal, isterinya tidak perlu memikirkan bagaimana hendak membayar hutang, bagaimana hendak meneruskan kehidupan, atau dari mana datangnya duit pendidikan anak-anak.

Semua itu telah disediakan.

Itulah bezanya.

Perancangan kewangan bukan mampu menghilangkan kesedihan. Perancangan kewangan ini bukan bermaksud kita tak percaya kepada takdir Allah. Ini ikhtiar kita untuk mengelakkan kesedihan itu ditambah dengan beban kewangan.

Perlindungan memang berbayar.

Tetapi bagi sesetengah keluarga, bayaran itu akhirnya menjadi sebab mereka masih mampu meneruskan kehidupan apabila musibah benar-benar berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *