Aku boleh faham kenapa ada orang rasa ujian yang dia hadap macam tak adil. Kenapa benda tu jadi dekat dia, sedangkan orang lain nampak semuanya berjalan lancar.
Dulu masa muda, sebelum betul-betul matang, aku pun fikir macam tu.
Apa-apa yang tak ikut perancangan aku, aku rasa tak adil.
Tengok orang lain dapat apa yang dia nak, aku tak dapat. Rasa kecewa. Rasa macam hidup ni tak menyebelahi aku.
Tapi lepas melalui banyak pengalaman, aku mula sedar satu perkara.
Banyak benda yang aku kecewa sebab tak dapat dulu, akhirnya rupa-rupanya itulah yang membawa kepada sesuatu yang jauh lebih baik.
Sejak itu, mindset aku berubah.
Kalau ada benda yang tak jadi ikut plan, atau berlaku sesuatu yang kita anggap buruk, aku cuba untuk terus reda dan tanya diri sendiri:
“Apa sebenarnya yang Allah nak ajar aku melalui perkara ni?”
Masa PMR dulu, lepas trial dapat straight A, keputusan sebenar pula ada 1B.
Memang down. Sebab semua orang expect aku dapat straight A.
Tapi disebabkan keputusan itu, aku masuk MRSM Beseri, bukan tempat yang aku sasarkan.
Dekat situlah aku jumpa kawan-kawan yang masih rapat dengan aku sampai hari ini.
Lepas tu masa nak masuk universiti, aku kena reject dengan Stanford. Itulah universiti yang aku paling teringin nak masuk.
Disebabkan kena reject, Yayasan Tenaga Nasional minta aku mohon universiti lain. Salah satunya ialah MIT.
Lucunya, masa tu MIT bukan pilihan utama aku.
Alhamdulillah, aku diterima masuk.
Kalau aku tak masuk MIT, mungkin YTN takkan minta aku tengokkan seorang kawan yang sedang ada masalah di Brown University.
Aku ajak dia balik ke Boston bersama aku.
Masa cuti musim panas, aku kerja. Tengok dia tak ada apa-apa nak buat dekat bilik, aku belikan dia sebuah PlayStation 2.
Disebabkan PS2 itu, seorang lagi kawan datang selalu sebab nak main game.
Kawan itulah yang akhirnya menjadi isteri aku hari ini.
Kalau difikirkan balik, semua itu bermula daripada satu surat penolakan daripada Stanford.
Lepas grad, aku masuk TNB Research.
Terus terang, aku tak gembira.
Aku sebenarnya nak sangat kerja di power plant.
Aku mohon pertukaran. Kena reject.
Cari pertukaran suka sama suka. Orang sebelah lepas, aku pula kena reject.
Mohon jawatan lain yang lebih tinggi. Bahagian yang nak ambil aku dah setuju, tapi HR pula tolak atas sebab teknikal.
Akhirnya, aku nekad hantar surat resign walaupun terpaksa bayar penalti pecah kontrak RM130,000.
Masa itu memang rasa kecewa.
Tapi hari ini bila aku pandang ke belakang, aku bersyukur semua permohonan itu ditolak.
Kalau aku berjaya masuk power plant dulu, besar kemungkinan aku masih bekerja di TNB sampai hari ini.
Aku mungkin takkan melalui pengalaman yang membawa aku menjadi seorang Licensed Financial Planner.
Takkan tubuhkan Wealth Vantage.
Takkan berjumpa ribuan orang untuk membantu mereka merancang kewangan.
Dan mungkin takkan menulis perkongsian yang sedang anda baca sekarang.
Sebab itu, bila umur semakin meningkat, aku semakin percaya bahawa kita hanya nampak satu halaman daripada cerita hidup kita.
Allah nampak keseluruhan cerita.
Kita kecewa sebab satu pintu tertutup.
Sedangkan Allah sedang membuka pintu lain yang kita sendiri tak tahu kewujudannya.
Bukan semua perkara yang kita minta akan Allah beri.
Dan bukan semua perkara yang Allah beri adalah perkara yang kita minta.
Tetapi aku percaya, setiap yang Allah tentukan ada hikmahnya.
Mungkin kita belum nampak hari ini.
Tapi suatu hari nanti, bila kita menoleh ke belakang, kita akan faham kenapa Allah susunkan perjalanan hidup kita seperti ini.
Kadang-kadang, doa yang paling besar Allah makbulkan bukan dengan memberi apa yang kita minta, tetapi dengan tidak memberi apa yang kita sangka kita perlukan.
