rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Bangga betul loan rumah lulus. Padahal hutang sampai 35 tahun. Nak bagi anak cucu bayarkan ke?”

Itu komen seorang netizen dengan nick “tikahgorilla” di Threads.

Aku nak komen sikit.

1. Beli rumah dengan loan 10, 20 atau 35 tahun, itu pilihan kewangan masing-masing.

Kalau dia rasa itu satu pencapaian, biarlah dia bangga.

Loan 35 tahun tak automatik bermaksud dia akan bayar selama 35 tahun. Ramai yang refinance, buat prepayment, jual rumah atau selesaikan lebih awal.

Yang penting, itu duit dan komitmen dia.

Selagi dia tak minta kita bayarkan ansuran rumah dia, kenapa pula kita yang sakit hati?

2. Loan 35 tahun tak semestinya anak kena sambung bayar.

Di Malaysia, kebanyakan pembiayaan rumah berakhir sebelum umur 70 tahun. Ramai pula bersara sekitar umur 60.

Ya, memang ada tempoh lebih kurang 10 tahun selepas bersara yang mungkin masih berbaki hutang. Sebab itu perancangan kewangan sangat penting.

Contohnya, seseorang beli rumah RM750,000 pada umur 35 tahun.

Anggaran ansuran sekitar RM3,090 sebulan.

Bila umur 60 tahun, walaupun kita buat andaian konservatif yang harga rumah langsung tak naik sepanjang 25 tahun, baki hutang mungkin sekitar RM309,000.

Kalau masa itu anak-anak semua dah berdikari, dia boleh pilih untuk downsize.

Jual rumah tersebut, langsaikan baki hutang, dan baki hasil jualan masih boleh digunakan untuk membeli rumah yang lebih kecil atau menambah simpanan persaraan.

3. Kalau pemilik meninggal dunia, bukan terus anak kena tanggung hutang.

Rumah ialah aset.

Kalau nilai rumah lebih tinggi daripada baki hutang, waris boleh jual rumah tersebut, selesaikan baki pembiayaan, dan lebihan hasil jualan akan menjadi harta pusaka untuk diagihkan.

Malah, kebanyakan pembiayaan rumah juga disertakan perlindungan seperti MRTT atau MLTT. Bergantung kepada perlindungan yang diambil, baki pembiayaan juga mungkin diselesaikan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya.

Ada seorang lagi netizen, “hello_budi”, memberi respon yang agak menarik. Katanya, selalunya orang yang cakap macam ni sebab loan dia sendiri tak lulus.

Aku tak tahu keadaan kewangan sesiapa di sini, jadi aku tak nak buat andaian atau komen tentang perkara itu.

Tapi macam yang aku dah jelaskan panjang lebar di atas…

Rumah dia.

Loan dia.

Duit dia.

Hidup dia.

Selagi keputusan kewangan dia tak menyusahkan kita, tak perlulah kita sibuk menghakimi pilihan orang lain.

Fokus saja pada perjalanan kewangan kita sendiri.

Kalau kita tak nak beli rumah menggunakan loan, itu pun tak ada masalah.

Simpan dan kumpul aset dulu. Sementara itu, menyewa pun satu pilihan.

Bila simpanan dan aset dah cukup, belilah rumah secara tunai atau dengan pembiayaan yang lebih pendek.

Setiap orang ada strategi dan matlamat kewangan yang berbeza.

Tak perlu semua orang ikut jalan yang sama untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *