rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Kalau tak bayar rumah atau kereta, memang duit akan banyak lebih.”

Betul. Memang kita akan ada lebih banyak duit setiap bulan kalau tak perlu bayar ansuran rumah atau kereta.

Rumah sahaja boleh makan lebih 30% daripada gaji kasar. Kereta pula mungkin sekitar 15-20%.

Kalau dua-dua tak perlu bayar, memang banyak lebihan tunai yang tinggal.

Untuk rumah, biasanya ia berlaku dalam beberapa situasi:

1. Masih tinggal atau menumpang di rumah ibu bapa atau keluarga, jadi tiada bayaran bulanan.

2. Rumah diterima sebagai hadiah atau pusaka, jadi tiada pinjaman.

3. Pinjaman rumah sudah habis dibayar.

Untuk kereta pula:

1. Menggunakan kereta yang diberi oleh ahli keluarga, cuma menanggung kos operasi dan penyelenggaraan.

2. Pinjaman kereta sudah selesai.

3. Tidak memiliki kereta kerana menggunakan motosikal atau pengangkutan awam.

Dalam keadaan seperti ini, kos sara hidup bulanan memang akan turun dengan ketara.

Cuma persoalannya, berapa ramai yang benar-benar berada dalam situasi sebegini?

Pada pandangan aku, rumah ialah keperluan asas, bukannya sesuatu yang sepatutnya menjadi alat utama untuk mengumpul kekayaan.

Bukan bermaksud tak boleh untung daripada pelaburan hartanah. Boleh.

Tetapi setiap orang sepatutnya mampu memiliki rumah sendiri tanpa harga yang didorong oleh spekulasi.

Kalau ikut pandangan peribadi aku, tempoh maksimum pinjaman rumah sepatutnya sekitar 10 tahun.

Kenapa?

Sebab bila tempoh pinjaman terlalu panjang, bayaran bulanan nampak rendah. Orang rasa “mampu beli”, sedangkan jumlah keseluruhan yang dibayar menjadi jauh lebih tinggi.

Pada masa yang sama, ruang untuk menaikkan harga secara spekulatif juga menjadi lebih kecil kerana pembeli tidak boleh bergantung kepada pinjaman yang terlalu panjang.

Untuk kereta pula, pada aku antara isu besarnya ialah perlindungan terhadap industri automotif tempatan.

Dulu masa aku bekerja di Oman, aku pernah nampak orang memandu Gen2 Full Spec. Harga di sana bawah RM30,000.

Kalau tak silap aku, model yang hampir sama di Malaysia ketika itu sekitar RM70,000.

Begitu juga dengan kereta lain. Dahulu di Amerika Syarikat, sebuah Hyundai Accent boleh dibeli sekitar USD5,000, tetapi di Malaysia harganya boleh mencecah sekitar RM60,000 selepas mengambil kira cukai dan duti eksais.

Akhirnya, rumah dan kereta menjadi dua komitmen terbesar kebanyakan isi rumah.

Bila sebahagian besar pendapatan habis untuk dua perkara ini, baki yang tinggal untuk simpanan, pelaburan, perlindungan kewangan dan persaraan menjadi semakin sedikit.

Sebab itu, bila kita bincang tentang kemampuan rakyat untuk menyimpan atau membina kekayaan, kita tak boleh hanya cakap, “Kurangkan belanja.”

Kita juga perlu bercakap tentang kos asas kehidupan yang semakin tinggi dan bagaimana ia memberi kesan kepada kedudukan kewangan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *