Kalau boleh, memang ramai orang nak berjalan ke sana sini dan shopping ikut kehendak hati. Tetapi realitinya, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendapatan yang tidak naik sepantas kos, dan komitmen hutang yang tinggi, ramai terpaksa menangguhkan keinginan itu.
Sebab itu ada segelintir pelancong di negara Barat yang memilih cara seperti hitchhiking, couch surfing atau meminta sumbangan daripada orang ramai untuk mengurangkan kos perjalanan. Itu pilihan mereka. Aku tak setuju dengan konsep ni.
Untuk aku, kalau tak mampu buat cara tak mampu.
Saya sendiri suka travel bersama keluarga. Tetapi kami travel menggunakan duit yang kami kumpulkan sendiri, bukan duit orang lain dan bukan dengan berhutang. Kami buat pilihan kewangan yang berbeza. Kami tidak membeli kereta yang terlalu mahal atau rumah yang terlalu besar semata-mata supaya ada ruang dalam bajet untuk pengalaman yang kami hargai.
Setiap orang ada keutamaan masing-masing. Ada yang sanggup berbelanja lebih untuk kereta, ada yang lebih memilih travel. Yang penting ialah kita membayar mengikut kemampuan sendiri.
Satu perkara yang ramai mungkin tidak fikir ialah apabila memohon visa atau memasuki sesebuah negara, antara perkara yang sering dinilai ialah sama ada kita mempunyai kemampuan kewangan yang mencukupi. Mereka mahu memastikan kita benar-benar datang sebagai pelancong, bukannya untuk bekerja secara haram. Ada juga negara yang meminta bukti insurans perjalanan supaya jika berlaku kecemasan perubatan, sistem kesihatan mereka tidak menanggung beban tersebut.
Bagi saya, melancong bukan sekadar mampu membeli tiket kapal terbang. Ia juga datang bersama tanggungjawab kewangan.
Kalau belum mampu hari ini, tak mengapa. Rancang, menyimpan, dan pergi apabila benar-benar bersedia. Pengalaman itu akan terasa lebih tenang apabila kita tahu ia dibayar dengan hasil usaha sendiri, bukan dengan hutang atau mengharapkan ihsan orang lain.

