rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Hidup semua orang tak sama

Posting macam ni menarik sebab ia tunjuk satu realiti yang ramai orang tak nampak.

Bila orang nampak gaji RM5,000, ramai terus anggap “ok lah tu”. Tapi bila masuk konteks sebenar — ada isteri, 5 orang anak, tanggung mak yang menjaga adik OKU, sewa rumah, pengangkutan dan kos hidup harian — RM5,000 tu sebenarnya perlu dibahagikan kepada ramai orang.

Yang saya selalu nampak sebagai financial planner, masalahnya bukan semata-mata jumlah gaji.

Masalahnya ialah bila kita guna satu angka tanpa melihat:

• Berapa orang yang ditanggung?

• Di mana mereka tinggal?

• Ada tak ibu bapa yang perlu dibantu?

• Ada tak anak istimewa atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan khas?

• Ada tak simpanan kecemasan?

• Ada tak perlindungan jika pencari nafkah meninggal dunia atau hilang upaya?

Dalam contoh ni, saya nampak satu perkara yang ramai terlepas pandang.

Orang tersebut sebenarnya nampak cuba hidup sederhana.

✔️ Kereta Saga

✔️ Rumah flat

✔️ Bawa bekal

✔️ Tak merokok

✔️ Tak vape

✔️ Tak ada komitmen gaya hidup yang melampau

Jadi naratif bahawa semua orang susah sebab “tak pandai urus duit” pun tidak semestinya betul.

Kadang-kadang seseorang itu memang sedang memikul tanggungjawab yang besar dengan pendapatan yang terhad.

Ada juga yang komen salah satu cara untuk berjimat ialah kurangkan RM800 yang diberikan kepada isteri.

Tetapi saya rasa kita kena berhati-hati sebelum terus membuat kesimpulan macam tu.

Sebab dalam posting itu sendiri, beliau dah asingkan duit dapur sebanyak RM900 sebulan.

Jadi RM800 yang diberikan kepada isteri itu bukanlah barang dapur.

Tetapi itu masih tidak bermaksud RM800 tersebut adalah pembaziran.

Dalam banyak keluarga, duit yang diberikan kepada isteri akhirnya digunakan semula untuk keluarga juga. Beli keperluan anak, pakaian sekolah, ubat-ubatan, keperluan rumah, kecemasan kecil dan macam-macam lagi yang kadang-kadang tidak direkodkan dalam bajet bulanan.

Kalau RM800 itu memang duit peribadi isteri sepenuhnya, mungkin boleh dibincangkan semula mengikut kemampuan keluarga.

Tetapi kalau RM800 itu sebenarnya membantu menampung keperluan keluarga yang lain, mengurangkannya mungkin cuma memindahkan masalah dari satu poket ke poket yang lain.

Apa yang lebih penting ialah melihat keseluruhan struktur kewangan keluarga.

Sebab kalau kita kira secara kasar, RM5,000 itu sedang digunakan untuk menyara:

• Diri sendiri

• Isteri

• 5 orang anak

• Mak

• Adik OKU

Itu 9 orang semuanya.

Kalau dibahagikan sama rata, setiap orang sebenarnya hidup dengan nilai sekitar RM556 sebulan.

5000/9=556

Bila dilihat dari sudut itu, kita akan nampak bahawa tekanan kewangan yang dihadapi mungkin bukan berpunca daripada RM800 kepada isteri semata-mata.

Kalau RM800 itu dikurangkan kepada RM500 sekalipun, penjimatan hanya RM300 sebulan.

RM300 mungkin membantu sedikit.

Tetapi ia tidak mengubah hakikat bahawa seorang pencari nafkah sedang menanggung keluarga yang sangat besar dengan pendapatan RM5,000.

Saya juga nampak satu lagi risiko besar.

Beliau mengaku tidak mengambil hibah atau insurans.

Ramai orang melihat itu sebagai penjimatan RM100 atau RM200 sebulan.

Tetapi jika sesuatu berlaku kepada beliau, pendapatan RM5,000 yang menyara isteri, 5 orang anak, ibu dan adik OKU boleh hilang serta-merta.

Sebab itu dalam perancangan kewangan, kita bukan sekadar kira sama ada duit cukup sampai hujung bulan atau tidak.

Kita juga perlu bertanya:

“Kalau pencari nafkah utama tiada esok, macam mana keluarga ini nak teruskan hidup?”

Kadang-kadang orang yang paling memerlukan perlindungan kewangan ialah orang yang merasakan mereka tidak mampu membayarnya.

Dan pada akhirnya, kita kena bezakan antara perbelanjaan yang nampak besar dengan punca sebenar tekanan kewangan.

Sebab kalau seseorang menanggung isteri, 5 orang anak, ibu dan adik OKU dengan gaji RM5,000, walaupun kita berjimat RM200 atau RM300 di sana sini, realitinya cabaran utama masih sama.

Pendapatan yang perlu dibahagikan kepada terlalu ramai tanggungan.

Kadang-kadang itu bukan isu pembaziran.

Itu isu matematik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *