Ini antara soalan yang paling kerap saya terima daripada klien Muslim, terutama yang mahu kurangkan cukai pendapatan dan pada masa sama rasa nak ‘manfaatkan semula’ zakat yang dibayar.
Contohnya:
Zakat sebenar RM8,000 – tapi bayar RM20,000.
Kemudian mohon wakalah dan dapat balik RM10,000.
Duit tu nak guna untuk belanja bulanan atau simpanan sendiri.
Soalan utama: boleh ke?
❌ Jawapan ringkas: Tak boleh guna untuk diri sendiri.
Walaupun bayar lebih, dan dapat duit wakalah daripada pusat zakat, duit itu tetap bukan milik kita. Ia masih dikira duit zakat, dan hanya boleh diagih kepada golongan asnaf yang layak seperti fakir, miskin, fisabilillah, muallaf dan sebagainya. Pada saya, masa kita bayar kepada Pusat Zakat Negeri tu, akad kita masih akad Zakat. Jadi bila dipulangkan untuk skim wakalah, sepatutnya di berikan kepada golongan yang sepatutnya, bukan untuk kegunaan kita sendiri.
📜 Rujukan rasmi:
✅ Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020):
“Jika ada pembayar zakat yang tidak mahu mengambil baki zakat yang dibayar, haram bagi amil untuk mengambilnya. Hendaklah ia disalurkan kepada asnaf.”
– Irsyad Fatwa Khas Ramadan Siri ke-168
✅ Zakat Selangor (LZS):
“Wakalah adalah amanah. Ia tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi. Ia mesti diagih kepada asnaf yang dibenarkan.” – dari website LZS
Kalau ikut pengalaman saya dekat Zakat Wilayah, dia akan audit kita berikan wakalah tu kepada siapa. Kena bagi nama penuh, no IC, alamat rumah, no telefon semua, untuk diaorang verify.
✅ Kalau niat nak bantu orang lain:
Kalau nak bantu ahli keluarga, saudara mara atau kenalan guna duit wakalah – pastikan mereka betul-betul termasuk dalam kategori asnaf fakir/miskin. Yang ni dibolehkan. Tapi kalau nak buat juga, rasanya takde undang2 dekat Malaysia yang boleh dikenakan kepada kita pun setakat ni. Tapi macam orang cakap, kubur kita lain-lain.
Kalau tidak, lebih baik guna duit sendiri (bukan duit zakat) – insyaAllah tetap dapat pahala sedekah.
✍️ Penutup:
Bayar zakat adalah ibadah.
Wakalah adalah amanah.
Kalau kita jadikan helah untuk “ambil balik” dan guna sendiri — kita mungkin dapat kurangkan cukai, tapi kita kehilangan keberkatan.
Kalau ada yang salah saya sebut berkaitan topik ni, boleh bagitau supaya ramai orang boleh mendapat kebaikan nanti.
