Kisah Agent Takaful yang tak declare maklumat klien untuk bagi polisi lulus.
Cerita dia bermula dari tahun lepas selepas seorang prospek ni setuju nak engage saya jadi perancang kewangan peribadi dia.
Lepas kami berjumpa, dan mendapat semua maklumat peribadi dan kewangan beliau, satu pelan kewangan yang komprehensif telah disiapkan dan telah dipersetujui oleh sang klien lepas dibentangkan.
Salah satu perkara yang perlu dilaksanakan adalah untuk menambahkan pelan perlindungan hayat yang sedia ada supaya kehidupan waris2 beliau akan terjamin sekiranya apa2 yang tidak diingini berlaku.
Isunya dengan klien ni adalah berat badan beliau. Kalau ikut BMI dah masuk kategori obese. Memang tahu dari awal yang peluang nak lulus tu tipis, tapi kita pun cuba juga sebab kelebihan perancang kewangan ni dia ada akses kepada banyak produk dari syarikat takaful yang berbeza2 di Malaysia ni.
Lepas membuat permohonan kepada satau syarikat takaful ni, dapatlah keputusan yang dijangkan, kena reject. Lepas beritahu klien, dia pun buat keputusan untuk memohon daripada syarikat takaful lain yang tiada dalam senarai syarikat takaful yang berurusan dengan firma saya.
Lepas selesai berbincang, kami bersetuju untuk meneruskan hasrat klien untuk memohon kepada syarikat takaful tersebut. Tidak sampai satu minggu selepas tu, klien memaklumkan bahawa polisi beliau telah diluluskan.
Dalam hati, fuih, power jugak ejen takaful ni, cepat betul dapat kelulusan. Kita pun gembira untuk pihak klien sebab dia dah mencapai apa yang dirancangkan.
Ingat kes dah selesai. Tapi langit tak sentiasanya cerah. Semasa sesi seterusnya dengan klien untuk memantau keadaan kewangan beliau dan melaksanakan perkara2 lain yang telah dirancang, terdetik dekat hati untuk minta polisi yang telah diluluskan sebab nak tengok dan teliti.
Mukasurat pertama yang dicari adalah salinan borang permohonan takaful. Bila sampai mukasurat tersebut, terus nampak macam mana polisi takaful tu boleh lulus dengan mudah. Ejen telah mengambil langkah mudah untuk mengubah berat badan klien ke jumlah yang lagi rendah sebab nak bagi polisi lulusa dengan mudah.
Kita tanya pulak klien, ada tak bukti yang menunjukkan beliau dah memberikan maklumat yang sebenarnya kepada ejen. Klien dapat menunjukkan paparan WhatsApp diantara dia dengan ejen yang menunjukkan dia telah memaklumkan kepada ejen itu perkara yang sebenar.
Lepas berbincang, klien bersetuju untuk meminta ejen tersebut untuk mengubah maklumat tersebut dan memaklumkan kepada syarikat takaful tersebut bahawa maklumat yang telah diberikan salah. Yang bestnya, bila hubungi ejen, didapati ejen tersebut telah berangkat pergi bercuti dengan pakej percutian yang telah diberikan oleh syarikat takaful tersebut kerana ejen tersebut telah mencapai sasaran jualan.
Apabila ejen tu balik dari percutian, dia pun cakap (dalam WhatsApp) yang memang salah dia, dan dia mengaku dia tukar maklumat berat untuk memastikan polisi tu lulus. Klien saya tak puas hati dan meminta ejen tersebut membetulkan keadaan. Ejen tersebut pun bersetuju dengan permintaan beliau.
Beberapa minggu kemudian, klien dapat notifikasi yang polisi dia ada perubahan dan polisi masih aktif. Klien ingat semua dah selesai. Tetapi rupanya angan-angan sahaja, kerana ejen tersebut masih tidak tukar maklumat tersebut. Maklumat yang ditukarkan hanya maklumat penama.
Apabila dapat surat dari syarikat takaful, klien pun menghubungi ejen sekali lagi untuk meminta ejen tersebut membetulkan keadaan. Kali ni ejen tersebut menghantar borang yang betul kepada syarikat takaful.
Beberapa minggu kemudian, klien saya tiba2 dapat surat dari syarikat takaful tersebut yang menyatakan polisi dia telah dibatalkan kerana dia telah memberikan maklumat yang tidak benar semasa permohonannya dulu. Syarikat takaful tersebut juga menyatakan bahawa caruman yang telah dibayar juga tidak akan dikembalikan sepenuhnya.
Apa lagi, klien saya pun naik berang. Sebab dia telah dipersalahkan dan integriti beliau telah dicabar walaupun bukan salahnya. Dia pun rujuk kepada saya, apakah langkah yang patut diambil. Saya mencadangkan kita buat laporan rasmi kepada pihak syarikat takaful tapi melalui ejen lain yang saya kenal. Setelah berbincang, beliau pun bersetuju.
Ejen syarikat takaful yang baru ni pun setuju untuk membantu menghantar aduan tersebut kepada syarikat takaful tersebut. Semua perbualan melalui WhatsApp dan email disertakan sebagai bukti.
Selepas beberapa bulan, akhirnya dapat perkhabaran yang syarikat takaful mendapati bahawa klien saya tidak bersalah dalam hal ini dan bersetuju untuk memulangkan semula kesemua caruman yang telah dibayar. Duit ni pun baru saja masuk akaun bank dia dalam dua hari lepas.
Khabarnya ejen tersebut (yang sengaja hantar maklumat yang salah) telah diambil tindakan tatatertib oleh syarikat takaful tersebut. Tak taulah kalau ejen tersebut dah belajar dari kejadian ni, tapi diharapkan lepas ni dia tak buat lagi sebab kesian nanti dekat klien, bayar banyak2, lepas tu bila nak claim nanti tak dapat apa yang diharapkan.
Kepada ejen2 takaful dekat luar sana, harap dapat ambil iktibar dari cerita ini.
Kepada orang ramai, ketahuilah hak anda sebagai klien. Jangan percaya bulat2 apa yang ejen2 cakap atau buat. Polisi tu kalau dah dapat kena baca betul2, manalah tahu ada yang tak kena. Baik tahu awal dari tahu lewat masa nak claim nanti.
P/S: Jangan tanya saya nama ejen atau nama klien ataupun nama syarikat takaful tersebut. Permintaan itu tak akan dilayan sebab niat bukan nak malukan sesiapa tapi supaya semua yang baca boleh mengambil pengajaran dari kisah di atas.
