Dalam 8-9 tahun lepas, ada request dari pihak CTOS untuk tulis artikel untuk website diaorang pasal tips untuk beli kereta. Masa tu rasanya baru habis CFP, dan belum dapat lesen, jadi tak attribute kan artikel ini kepada saya. Jadi kali ini saya nak revisit balik artikel tu, dan update untuk maklumat yang lebih relevan untuk tahun 2025.
Ramai orang yang bekerja di bandar akan merasakan bahawa memiliki kereta adalah satu keperluan.
Maka persoalannya:
Berapa harga kereta yang kita mampu beli?
Ada dua tips yang popular yang digunakan orang ramai untuk membuat keputusan ini. Mari kita lihat satu persatu.
Tips #1: Gaji Bulanan × 12 bulan = Harga kereta yang kita mampu beli
Contoh:
Kalau gaji RM1,700 sebulan, potongan EPF (11%) adalah RM187, dan SOCSO + EIS (0.5%) adalah RM8.50. Jadi gaji bersih adalah RM1,504.50 sebulan.
Mengikut formula gaji bersih × 12, kereta yang kita mampu beli adalah:
RM1,504.50 × 12 = RM18,054 sahaja.
Memandangkan tiada kereta baru dalam pasaran dengan harga tersebut, bermakna kita hanya boleh membeli kereta secara second-hand.
Mari kita kaji tips ini:
Adakah kita perlu membeli kereta tersebut dengan tunai ataupun dengan menggunakan pinjaman?
Belian Secara Tunai
Kalau guna tunai, kita akan memerlukan masa yang lebih lama sebelum dapat membeli kereta tersebut. Sebab kalau gaji bersih RM1,504.50, kita mungkin hanya dapat menyimpan maksimum RM200 sebulan.
Kalau kita laburkan duit simpan bulanan dalam ASB, pada kadar dividen 5%, kita hanya akan dapat mengumpulkan jumlah yang diperlukan selepas 77 bulan.
Belian Secara Pinjaman
Pengiraan Bayaran Bulanan Kereta adalah berdasarkan kadar faedah 2.75% dan tempoh pinjaman selama 5 tahun.
Untuk kereta harga RM18,054, kita perlu membayar sejumlah lebih kurang RM343 sebulan selama 5 tahun untuk memiliki kereta tersebut.
Tetapi, adakah kita telah mengambil kira kesemua perbelanjaan yang perlu ditanggung setelah membeli kereta? Persoalannya, berdasarkan pengiraan ini, adakah kita betul-betul mampu untuk membeli kenderaan tersebut?
Tips #2: Bayaran bulanan tidak melebihi 15% daripada gaji bersih dan tempoh pinjaman tidak melebihi 5 tahun
Tips kedua ini menggunakan kaedah yang menyatakan bayaran bulanan mesti tidak melebihi 15% daripada gaji bulanan anda. Dan pembiayaan itu mesti tidak melebihi 5 tahun.
Mari kita kaji keberkesanan tips ini.
Gaji RM1,700 sebulan. Potongan EPF (11%) adalah RM187, dan SOCSO + EIS (0.5%) adalah RM8.50. Jadi gaji bersih adalah RM1,504.50 sebulan.
15% daripada gaji bersih adalah RM225.68 sebulan. Nilai maksimum kereta yang boleh dibeli dengan bayaran bulanan tersebut (kadar faedah 2.75%, tempoh pinjaman 5 tahun) adalah lebih kurang RM11,875. Nilai kereta yang kita boleh beli kalau guna pakai Tips #2 ni jauh lagi rendah dari Tips #1 tadi.
Tapi seperti tips no. 1, tips ini TIDAK mengambil kira kesemua perbelanjaan yang perlu ditanggung setelah membeli kereta.
Bagaimana pula untuk orang yang mendapat gaji RM6,000 sebulan?
15% daripada gaji bersih (selepas potongan EPF & SOCSO) adalah lebih kurang RM795 sebulan. Ini bermaksud individu ini hanya dapat membeli kereta dengan nilai maksima RM41,875 sahaja. Maksudnya boleh beli kereta macam Proton Iriz, Perodua Bezza, Perodua Axia atau Proton Saga kalau ikut tips ini.
Kalau individu ini mengambil tempoh pinjaman 9 tahun, dia hanya perlu membayar RM530 sebulan (jumlah yang kurang dari 10% gaji bersihnya).
Pada pendapat kami Tips #2 ini adalah lebih konservatif berbanding dengan Tips #1. Walaubagaimanapun, masih ada kekurangannya iaitu kedua-dua tips ini tidak mengambil kira jumlah minima gaji seseorang sebelum mampu memiliki kereta dan juga perbelanjaan-perbelanjaan yang perlu ditanggung pemilik kenderaan tersebut.
KESIMPULANNYA APA?
Pada pandangan saya, cara terbaik untuk menganggarkan kemampuan kita membeli kereta adalah dengan mengambil kira kesemua perbelanjaan kita dahulu seperti tempat tinggal, makanan, anak-anak, simpanan atau pelaburan (minimum 10% dari gaji), insurans atau takaful yang mencukupi dan keperluan-keperluan lain.
Hanya selepas mengambil kira kesemua komitmen / perbelanjaan yang lain, kita akan dapat kira baki yang masih tinggal. Baki tersebut kita bahagikan dua – dan itulah jumlah yang kita boleh belanja untuk bayaran bulanan kereta. Separuh lagi adalah untuk kos maintain kereta termasuk minyak, tol dan sebagainya.
Contoh:
Gaji RM1,700 → tolak kos sara hidup lain → baki RM100 → maksudnya kita hanya mampu bayar RM50 sebulan untuk kereta → dengan kata lain, tak mampu beli kereta.
Gaji RM6,000 → tolak kos sara hidup lain → baki RM800 → maksudnya kita mampu bayar RM400 sebulan (loan 9 tahun) → boleh beli kereta harga RM35,000 sahaja seperti Perodua Axia, Bezza atau Proton Saga.
Kesimpulannya, ukur baju di badan sendiri sebelum beli kereta. Kalau tak ada keperluan mendesak, lebih baik tunggu sampai kewangan benar-benar stabil supaya tak terjerat hutang jangka panjang.
Bila gaji dah naik RM3,000 ke atas, barulah boleh fikir untuk beli kereta – tapi tetap kena pilih betul-betul. Salah pilih kereta, silap ambil tempoh pembiayaan, memang akan merana 5 hingga 9 tahun nak bayar balik hutang kereta tersebut.
Tapi janganlah pula gaji RM 1,700 terus tanya nak beli kereta Merc ke BMW, besau sangat selera ko tu dik.
