Semalam ada pergi ke Melaka sebab nak buat sesi sign wasiat untuk klien dan isteri yang nak berlepas ke Saudi untuk menunaikan haji minggu depan.
Sementara tunggu isteri beliau sampai ke ofis, klien ada bertanyakan soalan pasal kes kematian serentak. Klien ceritakan yang dia ada pakcik yang meninggal sebab eksiden dan disebabkan kereta dia terbakar, doktor takleh nak tentukan siapa yang meninggal dulu, suami atau isteri.
Kalau ikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-83 yang bersidang pada 18–24 Oktober 2008 yang telah memutuskan bahawa
“Mana-mana ahli keluarga yang meninggal dunia secara serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain. Ini berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersama-samanya.”
Pandangan Mazhab
Majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafi’i berpendapat bahawa dalam kes kematian serentak yang tidak dapat dipastikan urutan kematian, individu yang meninggal bersama tidak saling mewarisi antara satu sama lain. Ini kerana syarat pewarisan menghendaki waris masih hidup semasa kematian pewaris. Sebaliknya, mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka boleh saling mewarisi dalam keadaan tertentu.
Contoh Kes
Sebagai contoh, jika dua orang adik-beradik meninggal dunia secara serentak dalam kebakaran, dan masing-masing meninggalkan wang simpanan serta waris seperti ibu, anak perempuan, dan bapa saudara sebelah bapa, maka menurut pandangan mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafi’i, harta mereka akan diwarisi oleh ibu dan anak-anak perempuan mereka tanpa mengambil kira bahagian saudara yang meninggal bersama.
Kesimpulan
Fatwa ini menetapkan bahawa dalam kes kematian serentak yang tidak dapat dipastikan urutan kematian, individu yang meninggal bersama tidak saling mewarisi antara satu sama lain. Harta pusaka akan dibahagikan kepada waris-waris yang masih hidup mengikut hukum faraid.
Macam mana pulak kalau harta sepencarian pula bila kematian serentak?
Kalau ikut logik, cuma suami atau isteri yang sepatutnya ada hak kepada harta sepencarian. Kalau yang ada hak dah meninggal, harta sepencarian tu takde orang boleh claim, jadi akan termasuk dalam faraid, dan di uruskan macam senario dekat atas tu.
Kalau ada siapa2 yang ada experience dalam kes kematian serentak ni yang boleh sharekan pengalaman korang? Boleh semua orang belajar sama2.
