rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Bila 80% gaji habis bayar hutang… apa lagi yang boleh dibuat?

Benda ni selalu aku jumpa bila berjumpa prospek yang kerja kerajaan. Swasta pun ada jer kes macam ni.

Dua tahun lepas, aku jumpa seorang prospek yang bekerja di sebuah agensi kerajaan. Income dia setiap bulan, hampir 80% digunakan untuk bayar hutang.

Yang baki tu, barulah digunakan untuk belanja rumah, makan minum, anak-anak dan perbelanjaan lain.

Suami pula kerja Grab. Dulu ada bisnes, tapi jatuh teruk masa MCO dan tak berjaya recover balik.

Bila tengok keadaan kewangan dia, memang bukan sekadar isu nak berjimat atau potong perbelanjaan.

Antara benda yang aku minta dia buat masa tu:

1. Selesaikan isu rumah dulu.

Dia ada tunggakan sewa rumah selama 3 bulan. Dah sampai tahap owner rumah nak minta dia keluar.

Aku minta dia pergi ke Pusat Zakat Wilayah Persekutuan, explain keadaan kewangan dia dan apa bantuan yang dia perlukan.

Alhamdulillah, PPZ bantu selesaikan tunggakan sewa rumah dia.

Dalam keadaan macam ni, kita kena tahu juga bantuan apa yang tersedia dan siapa yang boleh kita rujuk. Tak semua masalah perlu diselesaikan menggunakan duit sendiri semata-mata.

2. Cari alternatif rumah yang lebih murah.

Sewa rumah dia masa tu RM1,400 sebulan.

Aku minta dia tengok option lain. Cari dekat Mudah, PropertyGuru dan platform lain. Ada rumah dengan saiz lebih kurang sama, tapi sewa sekitar RM1,000.

Dia pula ada mention sebab dia bekerja dengan kerajaan, dia nak cuba dapatkan rumah sewa kerajaan yang sewanya boleh jadi bawah RM500.

Kalau dapat, memang satu penjimatan yang besar setiap bulan.

Dalam keadaan cashflow yang dah terlalu ketat, pengurangan RM400, RM500 atau RM900 dalam komitmen bulanan bukan benda kecil.

3. Cari sumber pendapatan tambahan.

Memang kena usaha untuk tambah income.

Kalau tak ada modal, antara cara yang boleh dicuba adalah affiliate. Tak perlu beli stok barang, tapi kena rajin buat content, promote barang dan usaha untuk dapatkan jualan.

Kalau nak buat kerja part-time pun boleh dipertimbangkan, cuma kena tengok juga masa yang diperlukan dan kesannya kepada keluarga.

Kalau boleh dapat tambahan RM20–RM30 sehari sekalipun, dah boleh membantu.

Bukanlah terus menyelesaikan semua masalah, tapi sekurang-kurangnya ada tambahan cashflow.

4. Susun semula hutang.

Antara hutang yang dia ada termasuk kad kredit, BNPL, personal loan, loan kereta, loan koperasi dan macam-macam lagi.

Bila hampir 80% income digunakan untuk membayar hutang, memang tak banyak ruang yang tinggal untuk kehidupan harian.

Aku dah minta dia rujuk AKPK untuk tengok apa option yang ada bagi mengurus dan menyusun semula hutang dia.

Alhamdulillah, selepas melalui proses tersebut, komitmen bulanan dia dapat dikurangkan lebih kurang RM1,000.

RM1,000 sebulan tu dah boleh bagi sedikit ruang untuk dia bernafas.

5. Bankruptcy sebagai pilihan terakhir.

Kita ada juga bincang kemungkinan bankruptcy, sebagai last resort.

Tapi disebabkan dia bekerja dengan agensi kerajaan, ada implikasi kepada status pekerjaan dia sekiranya diisytiharkan bankrap.

Dia tak nak ambil risiko kehilangan pekerjaan, lebih-lebih lagi sebab dia berada dalam skim pencen. Dia rasa terlalu banyak yang dia akan kehilangan kalau mengambil jalan tersebut.

Jadi, option ni tak diteruskan.

Bukan aku nak recommend orang declare bankruptcy. Ini bukan keputusan yang boleh dibuat secara mudah. Kena dapatkan nasihat daripada pihak yang berkelayakan dan faham betul-betul implikasinya sebelum buat apa-apa keputusan.

Bila kita berhadapan dengan klien yang berada dalam situasi kewangan macam ni, tugas kita bukan sekadar suruh dia potong perbelanjaan.

Kadang-kadang, memang tak banyak lagi yang boleh dipotong.

Kita kena tengok keseluruhan situasi.

Apa yang boleh diselamatkan dulu?

Apa bantuan yang boleh diperoleh?

Apa komitmen yang boleh dikurangkan?

Apa sumber pendapatan tambahan yang boleh diusahakan?

Apa pilihan yang ada, dan apa implikasi setiap pilihan?

Financial planning bukan semata-mata tentang bagaimana nak melabur duit, nak capai retirement atau nak bina wealth.

Kadang-kadang, financial planning adalah tentang membantu seseorang yang hampir kehilangan tempat tinggal, memastikan dia masih ada ruang untuk hidup, dan mencari jalan supaya dia boleh bangkit semula.

Sebab sebelum kita bercakap tentang financial freedom, ada orang yang masih berjuang untuk financial survival.

Dan dalam situasi macam ni, kita kena bantu dia cari jalan. Bukan tambah rasa bersalah dia.

P/S: Ni kes aku buat pro-bono sebab kesian tengok keadaan dia masa tu. Tapi lepas setahun aku stop, sebab dia dah makin ok, jadi dia boleh teruskan usaha sendiri macam mana nak jadi lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *