rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Harga hotel 2 malam di Italy RM92,000.

Maksudnya lebih kurang RM46,000 satu malam.

Ramai akan cakap, “Gila mahal!”

Tapi hakikatnya, hotel macam tu tetap ada pelanggan. Kenapa?

Sebab orang yang bayar tu nampak value. Bila value yang dia rasa lebih tinggi daripada harga yang dibayar, harga jadi perkara kedua.

Sama macam tiket first class. Bagi sesetengah orang, dapat tidur lena, ruang yang lebih selesa, privasi dan sampai destinasi dalam keadaan segar memang berbaloi dengan harga yang dibayar.

Kalau aku?

Kalau aku bayar bilik RM46,000 semalam, memang aku tak keluar bilik. Aku nak tengok apa sebenarnya yang buat aku kena bayar RM46,000 untuk satu malam.

Aku lebih rela gunakan duit tu untuk travel, sightseeing dan pengalaman. Sebab pada aku, hotel cuma tempat letak barang, mandi, tidur dan rehat sebelum sambung berjalan keesokan hari.

Dulu masa belum mampu, lagi lah.

Janji ada tempat lelap mata.

Pernah tidur hostel AUD6 semalam. Pernah duduk apartment di Hong Kong yang kecil sangat, nak buka pintu bilik kena tutup pintu tandas dulu. Nak berdiri dalam bilik pun susah.

Sekarang bila dah ada sedikit kemampuan dan umur pun makin meningkat, aku lebih menghargai katil yang selesa dan bilik yang selesa. Bukan sebab nak bermewah, tapi sebab nak bangun esok dalam keadaan segar untuk sambung berjalan.

Business class pun sama.

Masa kerja dulu, selalu juga naik atas urusan syarikat. Aku faham kenapa syarikat sanggup bayar lebih. Turun kapal terbang terus boleh masuk meeting dan bekerja tanpa terlalu penat.

Kereta pun begitu juga.

Untuk kegunaan harian, Perodua dah cukup untuk aku.

Kalau satu hari nanti pengangkutan awam di Malaysia betul-betul bersambung dengan baik dan mudah digunakan, aku tak ada masalah langsung kalau tak memiliki kereta.

Sebab pada aku, fungsi utama kereta ialah membawa aku dari Point A ke Point B.

Tetapi kalau ada orang yang nampak nilai pada kereta mewah, mampu membelinya dan itu memberi kepuasan kepada mereka, silakan.

Itu duit mereka. Itu pilihan mereka.

Perkara yang sama berlaku dalam dunia aku sebagai Financial Planner.

Ada orang rasa fee yang aku kenakan mahal.

Tapi kebanyakan klien aku pula cakap ia berbaloi. Tahun lepas bila aku naikkan fee, seorang pun tak pertikaikan kenaikan tersebut.

Kenapa?

Sebab mereka nampak nilai yang mereka terima jauh lebih besar daripada fee yang dibayar.

Akhirnya, orang jarang membeli kerana harga.

Orang membeli kerana nilai.

Kalau nilai itu jelas, harga akan jadi nombor.

Kalau nilai itu tak nampak, walaupun murah, orang tetap akan rasa mahal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *