rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Mak kena scam RM250,000… apa nak buat?”

Kalau benda ni dah berlaku, pada saya harapan nak dapatkan semula duit tu memang tipis. Laporan polis tetap perlu dibuat dan bank perlu dimaklumkan secepat mungkin, tapi dalam banyak kes, peluang untuk mendapatkan semula wang memang rendah.

Sebab itu, lebih baik kita fokus kepada pencegahan daripada cuba menyelesaikan masalah selepas ia berlaku.

Dua hari lepas saya ada appointment dengan seorang klien.

Dia sedang dalam proses membeli rumah milik maknya. Selepas selesai urusan jual beli, maknya dijangka akan menerima kira-kira RM200,000 tunai selepas tolak baki pinjaman dan kos renovasi rumah baharu.

Dalam perbincangan tu, klien meluahkan satu kebimbangan.

“Boleh ke terus bagi duit tu dekat mak? Takut nanti duit tu habis macam tu je… atau lebih teruk, kena scam.”

Saya rasa kebimbangan tu memang berasas.

Berdasarkan pengalaman saya, ibu bapa selalunya agak sukar menerima nasihat kewangan daripada anak sendiri. Bukan sebab ego, tetapi secara semula jadinya mereka melihat diri mereka sebagai orang yang membesarkan dan mengajar kita sejak kecil.

Walaupun anak tu pakar nombor satu dalam bidang kewangan sekalipun, kadang-kadang nasihat daripada orang ketiga lebih mudah diterima.

Jadi saya cadangkan kepada klien supaya saya sendiri berjumpa dengan ibu bapanya dan terangkan pilihan-pilihan yang ada untuk menguruskan wang tersebut dengan lebih selamat.

Sebenarnya ini bukan kali pertama saya berdepan situasi macam ni.

Pada tahun 2018, saya pernah membantu seorang klien yang menghadapi situasi hampir sama.

Ibu bapanya menjual rumah di Ipoh, iaitu aset terakhir yang mereka ada, untuk menyelesaikan hutang. Anak mereka risau baki duit hasil jualan rumah itu akan habis begitu sahaja kerana ibu bapanya sebelum itu memang biasa dengan gaya hidup yang agak mewah dan tidak banyak membuat simpanan.

Anaknya meminta saya bertemu dengan mereka.

Alhamdulillah, mereka bersetuju untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan. Anak mereka yang menanggung kos engagement tersebut.

Kami susun semula pelan kewangan supaya duit itu boleh digunakan untuk menampung persaraan dalam tempoh yang lebih panjang, sambil mengurangkan risiko keputusan-keputusan yang boleh menjejaskan kewangan mereka.

Hari ini, selepas hampir 8 tahun, lebih kurang 70% daripada wang tersebut masih lagi ada.

Objektif anak mereka tercapai.

Bukan untuk mengawal duit ibu bapa.

Tetapi untuk memastikan ibu bapa mereka tidak kehabisan wang pada usia persaraan.

Saya rasa anak-anak juga perlu peka tentang perkara ini.

Bukan sebab tamak harta.

Tetapi kalau kewangan ibu bapa terurus, mereka lebih tenang menjalani persaraan, dan pada masa yang sama anak-anak juga tidak terbeban menjadi sandwich generation kerana terpaksa menanggung keperluan ibu bapa apabila simpanan mereka habis.

Kalau ibu bapa ada pencen kerajaan, mungkin risikonya sedikit berbeza.

Tetapi bagi mereka yang bergantung kepada KWSP atau hasil jualan aset sebagai dana persaraan, kesilapan besar seperti menjadi mangsa scam atau membuat pelaburan yang tidak sesuai boleh memberi kesan yang sangat sukar untuk dipulihkan.

Kadang-kadang, satu keputusan yang salah boleh menghapuskan simpanan yang dikumpul sepanjang puluhan tahun bekerja.

Sebab itu, apabila ibu bapa menerima sejumlah wang yang besar seperti hasil jualan rumah, pampasan atau KWSP, jangan terus fikir di mana nak laburkan duit tersebut.

Fikir dulu bagaimana nak melindungi duit itu.

Kalau perlu, dapatkan pandangan daripada financial planner atau individu yang bertauliah supaya keputusan yang dibuat benar-benar selari dengan keperluan persaraan mereka.

Sebab dalam perancangan persaraan, bukan siapa yang dapat pulangan paling tinggi yang menang.

Tetapi siapa yang berjaya memastikan duit itu cukup untuk sepanjang hayat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *