Terbaca satu perkongsian di media sosial. Rasanya penulis tu masih berstatus girlfriend atau tunang, sebab ayat terakhir yang dia tulis.
Dia cerita tentang pasangan dia yang langsung tak pandai urus kewangan dan tak nampak kepentingan merancang untuk masa depan.
Setiap bulan mengadu duit tak cukup.
Bila dia cuba tolong, penat.
Bila suruh cari side income, tak nak. Alasannya, “mak tak bagi.”
Bila bagi nasihat, degil tak nak dengar.
Akhir sekali dia cuma mampu cakap, “Doakan saja yang baik-baik untuk dia.”
Terus terang, kes macam ni bukan sikit. Ramai.
Masalah sebenar bukan semata-mata gaji kecil atau komitmen tinggi.
Masalahnya ialah tak pernah belajar berdikari.
Dari kecil, nak apa sahaja parents sediakan.
Ada masalah, parents selesaikan.
Silap buat keputusan, ada orang tolong cover.
Jadi bila dah masuk alam pekerjaan, dia masih mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah yang dia sendiri cipta.
Sebab itu dia tak pernah rasa perlu berubah.
Aku pula membesar dalam keluarga yang sederhana. Tak hidup susah sangat, tapi bukan juga senang.
Dari kecil lagi aku dah belajar berdikari.
Aku ada hobi yang perlukan duit. Kalau harap duit belanja sekolah atau duit raya, memang tak cukup.
Jadi kena cari jalan sendiri.
Berniaga.
Buat kerja sambilan.
Apa saja yang halal untuk tambah pendapatan.
Masuk universiti pun sama.
Walaupun dapat biasiswa TNB untuk belajar di MIT, dalam bulan kedua aku dah mula kerja part-time.
Bukan sebab duit biasiswa tak cukup untuk hidup.
Cukup.
Tapi tak cukup kalau nak travel, nak jalan-jalan, nak beli benda yang aku nak.
Aku boleh saja minta duit daripada mak ayah.
Kalau minta, insya-Allah mereka akan bagi.
Tapi aku tak sanggup menyusahkan mereka.
Bila balik Malaysia, kereta pertama beli dengan duit sendiri.
Rumah pertama beli dengan duit sendiri.
Kahwin pun dengan duit sendiri.
Sebahagian daripada simpanan itu datang daripada duit kerja sambilan semasa belajar. Malah aku buat keputusan untuk extend satu semester supaya sempat kumpul lebih banyak duit sebelum balik Malaysia.
Sebab itu bila baca kisah macam ni, aku tak nampak isu utamanya pada gaji RM2,000.
Aku lebih risau dengan mentaliti bergantung kepada orang lain.
Kalau hari ini masih bergantung kepada mak ayah untuk selesaikan masalah kewangan, selepas kahwin nanti besar kemungkinan pasangan pula yang akan ambil alih peranan itu.
Perkahwinan bukan sekadar cinta.
Perkahwinan adalah perkongsian tanggungjawab.
Kalau seorang masih belum bersedia memikul tanggungjawab terhadap diri sendiri, bagaimana dia nak memikul tanggungjawab terhadap pasangan dan anak-anak nanti?
Kalau saya berada di tempat perempuan itu, saya akan fikir panjang.
Sebab berkahwin bukan untuk setahun dua.
Kalau Allah panjangkan umur, ia adalah komitmen untuk 30, 40 atau mungkin 50 tahun.
Pilihlah pasangan yang bukan sekadar baik hati, tetapi juga sanggup belajar, menerima teguran dan berusaha menjadi lebih baik.
Sikap itu jauh lebih bernilai daripada sekadar gaji yang besar.


