Kesedaran kewangan di Malaysia memang masih rendah, dan sebagai seorang perancang kewangan yang dah lama berada dalam industri, perkara ini memang saya lihat berulang kali.
Bila bercakap tentang caruman PERKESO, ada yang marah sebab kalau hidup sampai umur 60 tahun, tak dapat keluarkan duit itu. Terus dilabel rugi.
Bila bercakap tentang Takaful pula, ada yang kata scam sebab “duit tak dapat balik”.
Padahal peranan PERKESO dengan Takaful adalah untuk melindungi kalau ada apa-apa kemalangan atau benda yang tidak diingini yang jadi kepada kita. Saya sendiri ada pengalaman dua orang klien dapat claim pencen ilat dan pampasan lepas kematian dari PERKESO. Rasanya kedua-dua tak rasa pula kena scam atau rugi mencarum.
Pada masa yang sama , bila muncul skim yang menjanjikan pulangan bulan dan bintang, diselit pula dengan slogan perjuangan bangsa, agama atau ekonomi orang Melayu, ramai pula sanggup keluarkan duit. Walaupun akhirnya duit lesap, masih ada yang mempertahankannya.
Tetapi, bila bercakap tentang KWSP, dividen sekitar 5–6% setahun mungkin bukan sesuatu yang mengujakan. Tetapi jika dibiarkan berkembang selama puluhan tahun dan diurus dengan berhemah, ia boleh menjadi sumber pendapatan yang sangat penting selepas bersara.
Namun masih ada yang mengeluh.
“Kalau mati awal, tak sempat guna duit tu.”
Sedangkan realitinya, risiko yang jauh lebih besar ialah hidup terlalu lama tetapi duit pula habis terlalu awal.
Akhirnya, selepas bersara, simpanan tak mencukupi. Hutang masih ada. Kalau masih sihat, terpaksa bekerja semula. Kalau sudah tak mampu bekerja, bergantung pula kepada anak-anak.
Kemudian alasan yang digunakan ialah, “Anak kena balas jasa ibu bapa.”
Hakikatnya, ramai juga anak-anak hari ini sedang bergelut dengan kos sara hidup, komitmen keluarga dan cabaran kewangan mereka sendiri.
Bila diajak menyediakan wasiat atau membuat perancangan harta pusaka, ada pula yang menjawab, “Tak perlu, faraid kan ada. Insya-Allah keluarga tak bergaduh.”
Sedangkan hampir setiap tahun kita mendengar kisah ahli keluarga mula bertelagah tentang harta pusaka, ada yang bermula ketika majlis tahlil pun belum selesai. Berbilion ringgit harta pusaka orang Islam pula masih beku kerana gagal diuruskan dengan baik.
Bila kita mengajak orang merancang kewangan, mengambil perlindungan Takaful dan menyediakan pelan sekiranya berlaku musibah, ada pula yang mengatakan kita menidakkan ketentuan Allah. Kononnya tidak percaya bahawa rezeki datang daripada Allah, malah ada yang melampau sehingga mengaitkan Takaful dengan syirik.
Sedangkan dalam banyak perkara lain dalam kehidupan, kita sendiri berusaha, merancang dan mengambil ikhtiar. Perancangan tidak pernah bercanggah dengan tawakal. Tawakal datang selepas usaha dilakukan.
Saya sedar, saya tak mampu mengubah cara fikir semua orang.
Yang saya mampu hanyalah membantu mereka yang sudah mempunyai kesedaran bahawa mengurus dan merancang kewangan bukan kerana kita takut kepada masa depan, tetapi kerana kita mahu menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.
Kerana akhirnya, kewangan yang diurus dengan baik bukan sekadar memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi juga mengurangkan beban kepada pasangan, anak-anak dan waris yang kita tinggalkan nanti.
