Kebelakangan ini, ada beberapa business coach dan usahawan yang bertaraf influencer berkongsi tentang kesusahan kewangan yang mereka sedang lalui.
Cuma kadang-kadang, saya rasa perkongsian itu agak sukar untuk dikaitkan dengan realiti kebanyakan orang.
Ada yang cerita duit masuk habis untuk bayar ansuran Ferrari RM38,000 sebulan dan Lamborghini RM21,000 sebulan, tetapi caruman KWSP staf tertunggak sampai enam bulan.
Ada juga yang berkongsi betapa sukarnya mencari duit untuk membayar yuran sekolah swasta anak yang mencecah lima angka. Sedangkan ramai pengikut mereka mungkin sedang berusaha mengumpul RM100 untuk bayar yuran PIBG pun sudah terasa berat.
Saya bukan nak memperlekehkan cabaran mereka. Masalah kewangan tetap masalah, tidak kira jumlahnya.
Tetapi pada pandangan saya, apa yang berlaku ini banyak berkait dengan lifestyle creep.
Bila bisnes berkembang, gaya hidup naik sama laju dengan pendapatan. Rumah lebih besar, kereta lebih mewah, komitmen bulanan semakin tinggi. Sebahagiannya mungkin kerana mahu memberi gambaran kejayaan untuk menarik pelanggan dan membina jenama.
Masalahnya, bisnes bukan graf yang sentiasa menaik.
Setiap bisnes ada kitaran. Ada masa berkembang, ada masa perlahan, ada masa terpaksa bertahan.
Sebab itu, antara nasihat yang saya selalu berikan kepada klien yang memiliki bisnes ialah: asingkan kejayaan bisnes daripada gaya hidup peribadi.
Kalau ketika bisnes sedang berkembang pun kita masih selesa memandu Bezza macam KA walaupun mampu membeli kereta yang jauh lebih mahal, mungkin apabila bisnes memasuki fasa mencabar nanti, tekanan kewangan tidaklah seteruk itu.
Kewangan peribadi yang kukuh memberi ruang untuk membuat keputusan dengan tenang ketika bisnes menghadapi down cycle.
Ramai orang fokus membina bisnes yang kuat.
Tetapi jangan lupa membina kewangan peribadi yang tahan diuji.
Kerana akhirnya, bukan sahaja bisnes yang perlu mampu bertahan, tetapi kehidupan kita juga.
