rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Keadaan kewangan bekas isteri menjadi lebih runcing lepas kahwin dengan suami baru

Terbaca satu kisah yang menarik dan rasa ada beberapa pengajaran kewangan yang boleh diambil.

Seorang lelaki berkongsi bahawa bekas isterinya menghubunginya semula kerana memerlukan bantuan berkaitan kos penjagaan ibunya.

Menurut bekas isterinya, kos penjagaan bulanan mencecah sekitar RM11,000, dan dia sendiri menanggung kira-kira RM3,000 sebulan. (Sejujurnya, saya pun tertanya-tanya apa yang termasuk dalam kos tersebut. Adakah hanya kos penjaga, atau sekali dengan ubat-ubatan, rawatan dan keperluan lain?)

Bekas isterinya merupakan seorang cikgu.

Semasa mereka masih berkahwin dahulu, lelaki itu mendakwa hampir semua perbelanjaan rumah ditanggung olehnya. Jadi gaji isterinya banyak dapat disimpan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Apabila ditanya ke mana perginya simpanan tersebut, jawapannya ialah banyak dihabiskan untuk melancong ke luar negara, dan sebahagiannya dipinjam oleh suami baharu untuk membeli motosikal BMW.

Benar atau tidak keseluruhan cerita ini, ada beberapa pengajaran yang menarik.

Simpanan yang besar pun boleh habis jika tiada disiplin menguruskannya.

Sebab itu, saya selalu menggalakkan klien supaya perbelanjaan seperti travel atau shopping dibiayai menggunakan lebihan cashflow bulanan atau bonus. Bonus sendiri tidak sepatutnya dianggap sebagai pendapatan tetap dalam perancangan kewangan.

Apabila kita mula membiasakan diri mengeluarkan wang daripada simpanan untuk memenuhi kehendak, lama-kelamaan ia menjadi semakin mudah. Selagi nampak ada baki dalam akaun, kita akan rasa masih mampu berbelanja.

Satu lagi perkara ialah pemilihan pasangan hidup.

Pasangan bukan sekadar teman hidup, tetapi juga rakan dalam membuat keputusan kewangan.

Sudah tentu kita hanya mendengar satu sisi cerita, jadi tidak adil untuk menghukum mana-mana pihak.

Tetapi secara umum, cara seseorang mengurus wang, berhutang, berbelanja dan menghormati kewangan pasangan memang wajar dinilai sebelum membuat keputusan berkongsi hidup.

Kadang-kadang, kesan terbesar terhadap kewangan kita bukan datang daripada pelaburan yang rugi.

Tetapi daripada keputusan yang kita buat dalam memilih pasangan hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *