rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Gaji sekarang dah jauh lebih tinggi daripada dulu?”

Sebelum ada yang kata, “gaji sekarang dah jauh lebih tinggi daripada dulu”, saya setuju… tetapi kita kena buat perbandingan yang betul.

Kalau nak banding gaji, bandingkan pekerjaan yang sama pada zaman yang berbeza, bukan sekadar tengok nombor.

Contohnya, ada yang berkongsi pengalaman masuk kerja bank sekitar awal tahun 2000-an tanpa ijazah dengan gaji sekitar RM2,800. Hari ini pula, ada fresh graduate yang memulakan kerjaya dengan gaji sekitar RM1,800 hingga RM2,500, malah ada yang lebih rendah.

Kalau contoh itu dibandingkan untuk jawatan yang setara, memang menunjukkan bahawa kenaikan gaji bagi sesetengah pekerjaan tidak berlaku sepantas kenaikan kos sara hidup.

Saya juga bersetuju bahawa ini bukan semata-mata salah individu. Memang ada isu struktur ekonomi yang perlu ditangani di peringkat negara seperti pertumbuhan gaji, produktiviti, kos perniagaan, dasar pasaran buruh dan pelbagai lagi.

Tetapi sementara perubahan itu mengambil masa, kita tetap perlu mengurus perkara yang berada dalam kawalan kita sendiri.

Itulah yang mengingatkan saya kepada satu perbualan dengan mak tahun lepas.

Pernah sekali, mak ada tanya satu soalan yang menarik.

“Kenapa sekarang ni ramai orang gaji lebih tinggi berbanding dulu, tapi duit macam tak cukup-cukup?”

Saya pun fikir macam mana nak terangkan konsep inflasi kepada mak dengan cara yang paling mudah.

Dulu kami tinggal di Alor Setar, Kedah. (Kot-kot ada yang fail Geografi dulu, Alor Setar tu dekat Kedah. 😄)

Kalau nak kata keluarga kami kaya, memang tidak. Tetapi kehidupan kami sangat selesa.

Apa maksud “selesa”?

• Kami sentiasa ada pembantu rumah sepenuh masa kerana kedua-dua ibu bapa bekerja.

• Kami tinggal di sebuah banglo milik keluarga atas tanah kira-kira 10,000 kaki persegi dengan keluasan binaan sekitar 5,000 kaki persegi.

• Setiap tahun kami akan bercuti, kebanyakannya dalam negara dan sekali-sekala ke luar negara.

• Kami selalu makan di luar.

• Kalau perlu, kami dihantar ke kelas tuisyen atau belajar dengan guru persendirian.

Pendapatan mak sebagai seorang guru ketika itu sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Menjelang persaraan mungkin hampir RM3,000. Selain itu, mak juga ada pendapatan sampingan dengan menjual barangan yang dibeli ketika melancong kepada rakan-rakan dan saudara-mara.

Bila mak tanya soalan itu, saya jelaskan bahawa antara punca utamanya ialah inflasi.

Selain kos sara hidup yang semakin meningkat, kita juga kena ingat bahawa kos hidup di Alor Setar dan di Lembah Klang memang jauh berbeza.

Cara paling mudah untuk nampak kesannya ialah melalui contoh.

Dulu, gaji pembantu rumah sekitar RM150 sebulan.

Kalau pendapatan keluarga RM3,000 sebulan, kos pembantu rumah hanya sekitar 5% daripada pendapatan kasar.

Hari ini?

Kalau gaji minimum pembantu rumah sekitar RM1,500 sebulan, untuk mengekalkan nisbah 5% yang sama, seseorang perlu mempunyai pendapatan sekitar RM30,000 sebulan.

Contoh kedua ialah rumah.

Sekitar awal 1990-an, kos membeli tanah dan membina sebuah banglo di Alor Setar lebih kurang RM150,000.

Hari ini, kalau cari tanah banglo di kawasan seperti Ampang, harga tanah sahaja boleh mencecah sekitar RM950,000. Tambah kos membina rumah sekurang-kurangnya RM650,000, jumlah keseluruhannya menghampiri RM1.6 juta.

Lebih kurang 10 kali ganda berbanding dahulu.

Itulah realiti inflasi.

Kos sara hidup meningkat jauh lebih pantas berbanding pertumbuhan pendapatan bagi kebanyakan pekerjaan.

Sebab itu ramai yang rasa gaji mereka besar, tetapi kuasa beli sebenarnya semakin kecil.

Sebab itulah pengurusan kewangan peribadi menjadi semakin penting.

Kita perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, mengawal hutang, membina simpanan dan melabur supaya nilai wang kita tidak dimakan inflasi.

Kalau tidak, kita mungkin mampu hidup hari ini, tetapi akan lebih sukar menikmati persaraan yang selesa nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *