Sedar tak sedar, 30 Jun nanti genaplah 12 tahun sejak saya berhenti kerja makan gaji dan memilih untuk bekerja sendiri sepenuh masa.
Setiap kali berjumpa saudara-mara, kawan lama atau pelanggan baru, antara soalan yang paling kerap ditanya ialah:
“Kenapa berani berhenti kerja?”
“Tak takut ke?”
“Berapa banyak duit simpanan kena ada sebelum boleh kerja sendiri?”
Jadi kali ini saya nak kongsi cerita di sebalik keputusan itu.
1) Kenapa buat keputusan berhenti kerja makan gaji?
Kalau nak jujur, keinginan untuk bekerja sendiri sebenarnya dah lama ada.
Pada tahun 2009, saya pernah berhenti kerja untuk menjadi freelance consultant di Oman. Asalnya kontrak hanya enam minggu. Saya sanggup ambil risiko sebab nak cari pengalaman dan keluar daripada zon selesa.
Alhamdulillah, sebelum projek enam minggu itu tamat, saya ditawarkan pula kontrak hampir setahun dengan klien yang sama.
Tetapi ketika itu saya menerima panggilan balik ke Malaysia untuk membantu menubuhkan sebuah agensi kerajaan yang baharu. Pada masa yang sama, saya dan isteri juga merancang untuk menambah ahli keluarga.
Selepas berbincang dan berfikir panjang, saya memilih untuk pulang.
Perancangannya mudah. Saya ingatkan cuma enam bulan untuk membantu menubuhkan agensi tersebut.
Akhirnya… hampir empat tahun juga saya berada di sana.
Masuk tahun 2014, saya berjumpa CEO dan beritahu bahawa itu akan menjadi tahun terakhir saya.
Bukan sebab saya benci kerja makan gaji.
Tetapi saya sudah tahu apa yang saya mahu.
Saya mahu bekerja sendiri. Saya sudah penat dengan politik tempat kerja dan lebih suka membina sesuatu yang boleh saya panggil milik sendiri.
2) Berapa banyak simpanan yang perlu ada sebelum berhenti kerja?
Ini mungkin jawapan yang ramai tak sangka.
Bagi saya, jumlah simpanan bukan faktor yang paling penting.
Yang lebih penting ialah cara kita mengurus kewangan.
Siapa yang kenal saya tahu gaya hidup saya memang sederhana.
Masa saya berhenti kerja dulu, saya cuma ada dua buah kereta lama.
Sebuah Kelisa tahun 2004.
Sebuah Viva tahun 2009.
Kedua-duanya sudah habis dibayar.
Kad kredit tiada hutang.
Hutang dengan Yayasan Tenaga Nasional pun sudah selesai.
Yang tinggal cuma pembiayaan rumah.
Untuk mengurangkan risiko ketika baru memulakan kerjaya sendiri, saya menggunakan pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk membayar ansuran rumah selama beberapa tahun.
Maksudnya, komitmen bulanan yang paling besar tidak lagi menggunakan aliran tunai harian.
Bila hutang besar dah tak perlu dikeluarkan daripada poket setiap bulan, tiba-tiba perbelanjaan bulanan sebenarnya taklah setinggi yang kita sangka.
Cuba kira cash flow sendiri.
Keluarkan dahulu semua ansuran hutang.
Barulah kita nampak berapa sebenarnya kos untuk meneruskan kehidupan.
Sebab itu saya selalu cakap…
Ramai orang bukan tak mampu berhenti kerja.
Mereka sebenarnya terikat dengan komitmen yang dibina ketika pendapatan masih tetap.
Kalau hutang terlalu tinggi, bukan setakat susah nak berhenti kerja.
Nak tukar kerja pun kadang-kadang fikir dua tiga kali.
Walaupun perbelanjaan saya rendah, saya tetap meneruskan perlindungan takaful, terutamanya kad perubatan kerana bekerja sendiri tiada lagi manfaat daripada majikan.
Pelaburan juga diteruskan seperti biasa.
ASB Financing.
Unit Amanah.
PRS.
Sebab bagi saya, berhenti kerja bukan alasan untuk berhenti membina masa depan.
Simpanan yang saya ada ketika itu cukup untuk hidup.
Tetapi belum cukup untuk berhenti bekerja terus.
Saya masih perlu bekerja kerana saya masih ada impian yang ingin dicapai.
3) Kenapa pilih bidang kewangan dan menjadi Financial Planner?
Sebenarnya, rancangan asal saya bukan dalam bidang kewangan.
Saya bercadang untuk meneruskan kerjaya sebagai management consultant.
Tetapi pada tahun 2012, ketika masih bekerja makan gaji, saya terdengar sekumpulan staf mengadu bahawa gaji mereka tidak cukup.
Saya agak terkejut.
Sebab setahu saya, syarikat sudah menyediakan banyak kemudahan.
Petrol ditanggung.
Touch ‘n Go ditanggung.
Telefon syarikat beserta bil juga ditanggung.
Parking ada elaun.
Gaji pula bukannya rendah sangat.
Daripada terus menegur, saya memilih untuk memerhati.
Bukan untuk menghakimi.
Tetapi untuk memahami.
Dalam tempoh seminggu, saya perasan beberapa perkara.
Kereta yang dipandu kebanyakannya jauh lebih mahal daripada Kelisa saya, walaupun ketika itu saya sudah memegang jawatan General Manager.
Malah pernah sekali saya dihalau oleh pengawal keselamatan daripada parking khas saya sendiri kerana dia tak percaya kereta Kelisa itu milik seorang GM.
Telefon pula kebanyakannya model iPhone atau Samsung Galaxy yang terkini.
Saya pula hanya menggunakan telefon syarikat yang diberikan.
Waktu makan tengah hari pula hampir setiap hari makan di restoran berhawa dingin sekitar The Curve.
Saya pula sanggup berjalan ke Tesco Mutiara Damansara semata-mata nak dapat nasi ayam RM4.90 berbanding RM7.50 di food court The Curve.
Bukan sebab tak mampu.
Tetapi sebab saya memang begitu.
Saya lebih suka berjimat untuk perkara yang tidak memberi nilai jangka panjang.
Selepas seminggu, saya berjumpa kumpulan staf tersebut.
Saya beritahu yang saya terdengar perbualan mereka tempoh hari dan bertanya kalau saya buat satu sesi perkongsian mengenai pengurusan kewangan peribadi, adakah mereka berminat?
Semua setuju.
Saya pun menempah bilik mesyuarat dan menghantar jemputan kepada semua staf.
Dalam kepala saya, mungkin 10 atau 12 orang akan datang.
Rupa-rupanya hampir 35 orang hadir.
Saya rancang sesi itu selama satu setengah jam.
Akhirnya ia berlanjutan hampir empat jam.
Masih ramai yang ingin bertanya soalan.
Ketika saya sedang mengemas, kumpulan staf yang saya perhatikan sebelum itu datang menghampiri saya.
Mereka mengucapkan terima kasih.
Mereka kata inilah kali pertama mereka menghadiri sesi seperti itu dan ia benar-benar membuka mata.
Pada saat itulah saya sedar.
Inilah kerja yang saya mahu lakukan sepanjang hidup saya.
Bukan sekadar mengurus kewangan.
Tetapi membantu orang memahami wang dengan lebih baik.
4) Apa yang berlaku selepas itu?
Saya tak pernah masuk bidang kewangan sebab nak jadi kaya.
Saya tak pernah bercita-cita nak kumpul harta sampai berpuluh juta.
Bagi saya, harta hanyalah alat.
Bukan matlamat.
Matlamat saya cuma satu.
Nak bantu lebih ramai orang membuat keputusan kewangan yang lebih baik.
Alhamdulillah, sekarang dah hampir 14 tahun saya berada dalam industri ini.
Dua tahun secara sambilan.
Dua belas tahun secara sepenuh masa.
Sepanjang tempoh itu, saya berjaya memperoleh kelayakan profesional CFP pada tahun 2016 dan IFP pada tahun 2019.
Pada tahun yang sama saya menubuhkan Wealth Vantage Advisory – WVA
Hari ini, kami mempunyai kira-kira 25 oran
g kakitangan dan lebih 40 orang Financial Planner.
Saya sendiri mengurus lebih 70 keluarga dan individu secara aktif pada satu-satu masa dengan bantuan seorang pembantu sepenuh masa.
Kalau ditanya…
“Menyesal tak berhenti kerja makan gaji?”
Jawapan saya mudah.
Tidak.
Bukan sebab bekerja sendiri lebih mudah.
Hakikatnya, ia jauh lebih mencabar.
Pendapatan tidak tetap.
Tanggungjawab lebih besar.
Kalau silap langkah, kita sendiri yang menanggung akibatnya.
Tetapi setiap kali melihat seorang klien berjaya keluar daripada hutang…
Berjaya membeli rumah pertama…
Menghantar anak ke universiti…
Atau bersara dengan lebih tenang…
Saya tahu keputusan yang saya buat tiga tahun lalu adalah keputusan yang tepat.
Kalau diberi peluang untuk kembali ke tahun 2014…
Saya rasa saya tetap akan membuat keputusan yang sama.
Kerana akhirnya saya sedar…
Kepuasan sebenar dalam bekerja bukan sekadar pada gaji yang diterima.
Tetapi pada manfaat yang dapat kita tinggalkan kepada orang lain.
P/S: Gambar first time jumpa Razwan FarBudiman Ariff IbrahimSuzardi Maulan tahun 2018 dulu masa FPAM Symposium… dh 8 tahun dah kenal…
