Sebenarnya saya dah pernah kongsi infografik ni lebih kurang 2 tahun lepas. Masa tu versi Bahasa Inggeris. Sekarang ChatGPT dah jauh lebih maju, jadi saya minta dia hasilkan versi Bahasa Melayu pula.
Bila tengok 7 Tahap Kebebasan Kewangan ni, kebanyakan orang sebenarnya mensasarkan Level 6 – Financial Freedom (Kebebasan Kewangan).
Bagi saya, level ini sebenarnya sudah lebih daripada mencukupi.
Kalau semua matlamat kewangan kita dah on track, semua komitmen dah terjaga, persaraan dah cukup, pendidikan anak dah tersedia, perlindungan dah lengkap dan kita boleh hidup tanpa bergantung kepada pendapatan aktif, sebenarnya apa lagi yang kita perlukan?
Dalam perancangan kewangan pun, inilah sasaran yang biasanya kami bantu klien capai.
Level 6 boleh dikira.
Kita boleh kira berdasarkan konsep capital liquidation, iaitu modal digunakan sedikit demi sedikit sepanjang persaraan, ataupun capital preservation, iaitu hanya hasil pelaburan digunakan dan modal asal kekal.
Tetapi bila masuk Level 7 – Abundance, konsep dia dah mula kabur.
Berapa sebenarnya yang dikira “lebih daripada cukup”?
Macam mana nak tentukan angka dia?
Sebab pada tahap ni, bukan sekadar modal tak berkurang, malah harta terus bertambah walaupun semua keperluan hidup telah dipenuhi.
Hakikatnya, ramai orang masih bergelut untuk sampai ke Level 1.
Bukan sebab mereka malas.
Ada yang memang pendapatan tak mencukupi, dan untuk golongan ini, perancangan kewangan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah. Mereka perlukan peningkatan pendapatan terlebih dahulu.
Tetapi ramai juga sebenarnya mempunyai pendapatan yang selesa, namun masih bergelut kerana cara menguruskan kewangan.
Saya pernah jumpa klien berpendapatan RM80,000 sebulan, tetapi tiada simpanan dan cashflow negatif.
Dalam masa yang sama, saya juga pernah jumpa klien bergaji sekitar RM8,000 sebulan dengan simpanan melebihi RM500,000.
Sebab itu saya kurang bersetuju bila semua masalah kewangan disimpulkan sebagai “gaji tak cukup”.
Kadang-kadang, masalahnya bukan jumlah pendapatan.
Tetapi bagaimana kita menguruskan pendapatan tersebut.
Dalam kalangan klien yang dah bersama saya beberapa tahun, ramai yang kini berada di Level 4 atau Level 5.
Mereka masih terasa bila kos sara hidup meningkat.
Tetapi kesannya bukan sampai tak cukup makan atau kembali bergelut.
Biasanya yang berubah hanyalah kadar simpanan atau pelaburan mereka.
Mereka masih stabil.
Malah, ada klien yang dah mengembara mengelilingi dunia lebih dua tahun.
Ada yang berhenti kerja tetap dan memilih menjadi freelancer kerana lebih menghargai masa daripada pendapatan tambahan.
Ada juga yang sanggup membayar sendiri kos bond latihan kepada majikan semata-mata untuk mendapatkan kebebasan memilih kerjaya.
Inilah yang saya maksudkan dengan Financial Flexibility.
Bila kewangan dah stabil, kita mula membuat keputusan berdasarkan apa yang kita mahukan dalam hidup, bukan semata-mata kerana duit.
Akhirnya, kebebasan kewangan bukan bergantung kepada berapa besar gaji kita.
Tetapi bergantung kepada sejauh mana kita menguruskan apa yang kita ada.
Dan kalau kita rasa ada perkara yang kita sendiri tak tahu atau tak pasti, jangan malu untuk mendapatkan bantuan.
Sama seperti kesihatan, kadang-kadang kita perlukan doktor.
Begitu juga kewangan.
Kadang-kadang kita perlukan seorang financial planner.
Macam biasa, keputusan di tangan kita sendiri.
