Ramai orang terlalu fokus nak cari pelaburan yang bagi pulangan paling tinggi. Hakikatnya, kejayaan dalam pelaburan lebih banyak bergantung kepada disiplin dan proses.
1. Mulakan dengan ilmu.
Kalau belum faham, belajar dulu. Cari guru yang betul atau dapatkan bantuan daripada penasihat yang berkelayakan. Semua pelaburan ada risiko. Ada risiko rugi, ada risiko kehilangan modal, dan ada juga pelaburan yang mempunyai lock-in period di mana duit tidak boleh dikeluarkan untuk satu tempoh tertentu.
2. Sediakan simpanan kecemasan dahulu.
Jangan terlalu sibuk mengambil risiko jika simpanan kecemasan pun belum mencukupi. Ramai orang akhirnya terpaksa menjual pelaburan ketika harga jatuh semata-mata kerana perlukan duit untuk kecemasan.
3. Melabur mesti ada matlamat.
Setiap ringgit yang dilaburkan perlu ada tujuan. Untuk persaraan? Pendidikan anak? Deposit rumah? Jangan melabur semata-mata mengejar pulangan atau dividen yang tinggi tanpa tahu kenapa kita melabur.
4. Jangan letak semua telur dalam satu bakul.
Kepelbagaian (diversification) penting. Setiap jenis aset bergerak secara berbeza. Bila satu turun, mungkin ada yang lain masih bertahan atau naik.
5. Jangan tunggu duit banyak baru nak mula.
Melabur secara konsisten dan berkala selalunya lebih berkesan daripada menunggu masa yang “sempurna”. Lagi awal bermula, lagi lama kuasa compounding dapat bekerja untuk kita.
6. Elakkan melabur dengan duit pinjaman jika boleh.
Apabila menggunakan duit pinjaman, kita menambah satu lagi risiko. Hutang tetap perlu dibayar walaupun pelaburan mengalami kerugian.
7. Buat semakan sebelum melabur.
Buat homework, baca, semak latar belakang syarikat, dan rujuk kepada mereka yang berpengalaman atau pakar. Ingat, scam bukan pelaburan. Scam ialah situasi di mana kita menghadiahkan duit kita kepada scammer.
Pelaburan bukan perlumbaan siapa paling cepat untung. Ia adalah proses membina kekayaan secara konsisten sambil mengurus risiko dengan baik.
