Sekarang ni tengah viral satu kes melibatkan sebuah syarikat takaful, di mana seorang ejen didakwa mengambil duit daripada klien tetapi duit tersebut tidak dimasukkan ke dalam polisi. Akhirnya perkara itu terbongkar.
Dalam firm saya, ini memang antara perkara yang paling saya tekankan kepada semua financial planner.
**Jangan sesekali pegang atau terima duit klien.**
Kalau ada sesiapa didapati mengambil duit klien untuk tujuan transaksi, tindakan akan diambil serta-merta. Lesen akan ditarik, perkhidmatan ditamatkan, dan perkara itu akan dimaklumkan kepada regulator. Tiada kompromi.
Saya juga selalu ingatkan klien:
Bayar terus kepada syarikat takaful, syarikat pelaburan atau penyedia produk.
Jangan transfer kepada akaun saya atau mana-mana ejen.
Selain mengurangkan risiko penyelewengan, ia juga memastikan setiap transaksi direkodkan terus oleh penyedia produk.
Malah sekarang banyak provider sudah mengetatkan proses. Jika bayaran dibuat menggunakan akaun pihak ketiga (selain ibu bapa, pasangan, atau dengan dokumen sokongan yang diperlukan), transaksi tersebut boleh ditolak.
Baru-baru ini juga, pihak regulator telah menghantar pertanyaan kepada banyak firma mengenai sama ada mereka menerima wang daripada klien untuk transaksi. Besar kemungkinan ia susulan kes yang sedang menjadi perhatian ini.
Tak kira betapa lama anda kenal seseorang, atau betapa anda percayakan ejen tersebut, amalkan satu prinsip mudah:
**Duit caruman dan pelaburan mesti dibayar terus kepada penyedia produk, bukan kepada individu.**
Langkah kecil ini boleh mengelakkan kerugian yang jauh lebih besar pada masa hadapan.
