rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Bila jadi provider, semua hobi dan minat kena letak tepi?”

Aku memang tak ada sangat minat nak beli barang untuk diri sendiri.

Bukan sebab tak mampu. Tapi memang tak ada nafsu.

Pergi Jepun pun, walaupun aku suka tengok anime dan baca manga, tak ada rasa nak beli figure, merchandise atau apa-apa koleksi. Tengok seronok. Habis tu jalan.

Kalau cakap pasal travel pun, sebenarnya aku suka berjalan sebab dapat berjalan dengan family. Kalau tak ada family, selain urusan kerja, memang jarang aku pergi bercuti seorang diri.

Kereta mahal? Motor besar?

Kalau cakap langsung tak minat tu tipu juga. Ada rasa nak cuba sekali seumur hidup, sekadar nak tahu macam mana rasanya. Tapi untuk memiliki? Tak ada keinginan sangat.

Sekarang ni rasanya hobi yang paling mahal cuma makan.

Sebab tu agaknya berat badan pun makin naik.

Sampai isteri pun selalu mengeluh bila nak cari hadiah hari jadi untuk aku.

Dia cakap, “Apa yang ko nak sebenarnya?”

Jawapan aku selalunya sama.

“Kalau benda tu aku memang nak sangat, aku tak tunggu pun orang belikan. Aku beli sendiri. Kalau aku tak mampu beli, besar kemungkinan orang lain pun tak mampu nak belikan.”

Masalahnya, memang tak ada benda yang aku teringin sangat. Aku bagitau dia kalau nak, bagi experience/ kenangan sebab tu kitaorang selalu gi jalan2 time birthday aku

Tapi itu aku.

Tak bermaksud orang yang ada hobi salah.

Kalau ada orang minat jam, kamera, motosikal, game, memancing, LEGO, anime, atau apa saja, dan dia memang mampu, tak mengganggu kewangan keluarga, tak berhutang semata-mata nak teruskan hobi itu, bagi aku tak ada masalah.

Hobi pun ada nilainya.

Ada orang hilangkan stres dengan membeli buku.

Ada orang kumpul model Gundam.

Ada orang simpan kamera.

Ada orang suka modify kereta.

Semua orang ada cara masing-masing menikmati hasil titik peluh mereka.

Yang selalu jadi masalah bukan hobi.

Masalahnya bila terpaksa menipu pasangan tentang harga sebenar barang yang dibeli.

Kalau sampai kena sorok resit, buang kotak sebelum balik rumah, atau takut nak bagitahu harga sebenar sebab tahu pasangan akan marah, mungkin isu sebenar bukan barang itu.

Mungkin isu sebenar ialah komunikasi, keutamaan kewangan, dan persetujuan dalam rumah tangga.

Tak semestinya suami atau isteri kena minta izin untuk setiap sen yang dibelanjakan.

Tapi kalau sesuatu pembelian sampai kita sendiri rasa perlu disembunyikan, mungkin itu petanda kita sendiri tahu pembelian itu sukar untuk dipertahankan.

Akhir sekali, jangan ukur tahap kewangan seseorang berdasarkan apa yang dia beli untuk diri sendiri.

Ada orang gembira dengan koleksi RM10,000.

Ada orang gembira dengan secawan kopi dan makan malam bersama keluarga.

Yang penting, belanjalah mengikut kemampuan, bukan kerana nak nampak mampu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *