Ada orang tanya, untuk yang dah lama kahwin ni, apa sebenarnya yang tak perlu buat masa majlis kahwin dulu?
Pada aku, kahwin ni sekali seumur hidup. Kalau mampu, buatlah apa yang korang nak.
Nak buat photoshoot, buat. Nak buat dekat hotel, buat. Nak makan beradap daging wagyu dan lobster, buat. Nak honeymoon mahal, buat. Nak ada karaoke, silakan.
Majlis korang, korang yang bayar.
Tapi bila aku cakap “mampu”, maksud aku bukan sekadar boleh bayar.
Pinjam RM50,000 dan mampu bayar ansuran RM500 sebulan selama 10 tahun pun ramai orang rasa dia mampu.
Hakikatnya, dia cuma mampu berhutang.
Bagi aku, benda yang aku tak perlu buat masa majlis kahwin dulu bukan pelamin besar, bukan dewan mewah, bukan photographer mahal.
Yang tak perlu dibuat adalah memulakan kehidupan rumah tangga dengan beban hutang yang akan diingat lebih lama daripada majlis itu sendiri.
Sebab majlis kahwin biasanya orang ingat sehari dua je.
Lepas seminggu, semua orang dah sambung hidup masing-masing.
Tapi pasangan yang berhutang untuk majlis tu akan terus membayarnya setiap bulan.
Kadang-kadang sampai anak pertama dah lahir pun masih bayar hutang kahwin.
Ironinya, ramai pasangan yang bersungguh-sungguh merancang majlis satu hari, tapi tak pernah duduk bincang:
Lepas kahwin nak duduk mana?
Siapa tanggung bil apa?
Ada simpanan kecemasan tak?
Kalau seorang hilang kerja macam mana?
Nak ada anak bila?
Target kewangan 5 tahun pertama apa?
Padahal soalan-soalan itu jauh lebih penting daripada warna tema dewan atau jenis bunga atas meja.
Aku bukan kata jangan berbelanja untuk majlis.
Kalau ada duit lebih, dan itu memang sesuatu yang memberi kegembiraan kepada korang, teruskan.
Yang penting, jangan sampai majlis yang sepatutnya menjadi permulaan hidup bersama bertukar menjadi beban yang mengganggu kehidupan selepasnya.
Sebab selepas tetamu balik, selepas gambar dimuat naik ke media sosial, selepas bunga layu dan pelamin dibuka…
Yang tinggal bukan majlis itu.
Yang tinggal adalah kehidupan sebenar yang korang bina bersama setiap hari.
Dan kehidupan itu biasanya jauh lebih mahal daripada majlis kahwin sehari.
