rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“M40 Kedah dan M40 Kuala Lumpur hidup dalam dua dunia berbeza”

Saya rasa bila nak bincang pasal kos sara hidup antara negeri, kita kena pastikan perbandingan yang dibuat tu sekata.

Bila orang cakap “M40 Kedah dengan M40 KL sebenarnya dua dunia yang berbeza”, saya setuju. Tapi bila lepas tu dia guna contoh **RM8,000 sebulan** untuk kedua-dua tempat, perbandingan tu dah jadi kurang tepat.

Kenapa?

Sebab **RM8,000 di KL dan RM8,000 di Kedah tidak berada pada kedudukan pendapatan yang sama.**

Kalau ikut data DOSM 2024, RM8,000 sebulan di KL masih dalam kategori M40. Tetapi di Kedah, RM8,000 sebulan sudah berada dalam kategori T20.

Jadi kalau nak buat perbandingan yang betul, sepatutnya kita bandingkan golongan yang berada pada **percentile yang sama**, bukan semata-mata angka pendapatan yang sama.

Tetapi kalau kita memang nak bandingkan berdasarkan **pendapatan RM8,000 semata-mata**, saya setuju bahawa kehidupan di Kedah biasanya jauh lebih selesa berbanding di KL.

**1. Kos tempat tinggal**

Ini biasanya perbezaan paling ketara.

Di KL, RM500,000 mungkin hanya dapat apartmen atau kondominium, malah ada yang masih agak jauh dari pusat bandar.

Di Kedah pula, jumlah yang sama masih boleh mendapatkan rumah landed di banyak kawasan.

Saya pernah ada staf yang berpindah dari KL ke Kedah selepas berkahwin dan mengikut suaminya. Dia sendiri beritahu bahawa dengan tahap pendapatan yang sama, dia tidak sangka mampu membeli rumah teres dua tingkat di Gurun. Kalau masih berada di KL, pilihan yang realistik mungkin apartmen, rumah dalam pembinaan atau terus menyewa.

**2. Kos pengangkutan**

Harga kereta tidak banyak beza antara Kedah dan KL.

Tetapi kos memiliki kereta bukan sekadar ansuran bulanan.

Masa yang dihabiskan dalam trafik, penggunaan minyak dan bayaran tol juga merupakan kos.

Saya membesar di Kedah. Dulu saya ingat kesesakan di Bulatan Teluk Wanjah dah cukup teruk. Bila mula tinggal di KL, baru saya sedar kesesakan yang saya anggap teruk dulu sebenarnya masih jauh berbeza.

Di KL, ramai yang memilih tinggal lebih jauh kerana harga rumah yang lebih murah. Akibatnya, perjalanan harian menjadi lebih panjang, penggunaan minyak meningkat dan bayaran tol menjadi rutin.

Di Kedah, ramai yang masih boleh tinggal dalam bandar yang sama dengan tempat kerja. Masa perjalanan lebih singkat dan kos pengangkutan keseluruhannya lebih rendah.

Cuma satu kelebihan KL ialah sistem pengangkutan awam yang lebih baik. Ada pilihan MRT, LRT dan bas yang lebih menyeluruh. Dengan pas bulanan, ada yang boleh bergerak sekitar bandar dengan kos yang sangat rendah.

**3. Kos makanan dan perbelanjaan harian**

Secara umum, kos makan di Kedah masih lebih rendah berbanding KL.

Di KL sekarang, kalau dapat makan tengah hari bawah RM10 pun ramai yang rasa berbaloi.

Di Kedah pula masih banyak pilihan makanan yang boleh dibeli pada harga tersebut.

Walaupun harga sekarang jauh berbeza daripada zaman saya membesar dulu, jurang harga antara Kedah dan KL masih wujud.

**Tetapi ada satu perkara yang ramai terlupa.**

Nak hidup dengan RM8,000 di Kedah memang lebih selesa.

Tetapi nak mendapatkan pendapatan RM8,000 di Kedah biasanya lebih sukar berbanding di KL.

Itulah sebabnya saya kurang gemar perbandingan yang hanya melihat kos sara hidup tanpa melihat peluang pendapatan.

Kalau RM8,000 di Kedah sudah berada dalam kelompok T20, itu bermaksud majoriti isi rumah di negeri tersebut masih berada di bawah angka itu.

Di KL pula, RM8,000 bukanlah angka yang luar biasa. Jauh lebih ramai isi rumah yang mempunyai pendapatan pada tahap tersebut atau lebih tinggi.

Sebab itu perbincangan mengenai kos sara hidup sepatutnya melihat kedua-dua aspek:

* Kos untuk hidup.

* Peluang untuk menjana pendapatan.

Satu tanpa satu lagi tidak memberi gambaran yang lengkap.

Dan akhirnya, walau tinggal di KL atau Kedah, pendapatan tinggi tidak semestinya menjamin kehidupan yang selesa.

Saya pernah berjumpa klien di Kedah dengan pendapatan sekitar RM11,000 sebulan yang hampir diisytiharkan bankrap.

Masalahnya bukan pendapatan.

Masalahnya ialah cara menguruskan wang.

Kalau tak reti mengurus kewangan, pendapatan RM11,000 pun boleh rasa tak cukup.

Sebab itu, selain fokus untuk meningkatkan pendapatan, kita juga perlu belajar menguruskan duit yang kita ada. Itu yang selalunya memberi impak paling besar kepada tahap kewangan seseorang dalam jangka panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *