rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“The dual-income household didn’t liberate women. Two incomes later, you’re still broke — just busier.”

Post ni memang akan resonate dengan ramai orang sebab ramai rasa macam dulu satu income cukup, sekarang dua income pun masih semput.

Tapi kalau tengok dari sudut perancangan kewangan dan ekonomi, cerita dia lebih kompleks daripada sekadar menyalahkan wanita bekerja atau keluarga berpendapatan dua orang.

Memang ada asas ekonomi di sebalik pemerhatian tersebut.

Bila semakin ramai orang mempunyai pendapatan dan pendapatan pula semakin meningkat, permintaan (demand) terhadap barang dan perkhidmatan juga meningkat.

Kalau dulu satu keluarga hanya mampu beli rumah RM300,000, sekarang dengan dua pendapatan mereka mungkin layak membeli rumah RM600,000 atau RM800,000.

Apabila ramai pembeli mampu membayar harga yang lebih tinggi, pasaran akan menyesuaikan diri. Penjual dan pemaju akan menjual pada harga yang pengguna sanggup bayar.

Sebab itu kita sering nampak kenaikan harga rumah, kos pendidikan, pusat jagaan kanak-kanak dan pelbagai perkhidmatan lain.

Tetapi ada satu lagi faktor yang ramai orang terlepas pandang.

Hutang.

Ramai orang bukan membeli berdasarkan wang yang mereka ada hari ini, tetapi berdasarkan wang yang mereka jangka akan dapat pada masa depan.

Kereta dibeli dengan pinjaman 9 tahun.

Rumah dibeli dengan pinjaman 35 tahun.

Kad kredit digunakan untuk perbelanjaan semasa.

Secara tidak langsung, kita sedang meminjam pendapatan masa depan untuk digunakan hari ini.

Apabila akses kepada kredit semakin mudah, kuasa beli masyarakat meningkat melebihi pendapatan sebenar mereka. Bila ramai orang mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi, harga aset seperti rumah dan kereta juga cenderung meningkat.

Tetapi sebagai seorang financial planner, saya dapati masalah sebenar selalunya bukan kerana dua income.

Masalahnya berlaku apabila setiap kali pendapatan naik, gaya hidup naik sekali.

Dulu satu kereta.

Sekarang dua kereta.

Dulu rumah RM300,000.

Sekarang nak rumah RM800,000.

Dulu bercuti dalam negara.

Sekarang setiap tahun nak overseas.

Dulu telefon guna sampai rosak.

Sekarang tukar setiap kali model baru keluar.

Akhirnya dua income bukan digunakan untuk membina kekayaan, tetapi digunakan untuk menyokong kos hidup yang semakin besar.

Sebab itu ada keluarga bergaji gabungan RM20,000 sebulan yang masih hidup paycheck-to-paycheck.

Dan ada keluarga bergaji RM8,000 sebulan yang berjaya mengumpul aset bersih melebihi RM1 juta.

Bukan semata-mata soal berapa banyak duit masuk.

Tetapi berapa banyak yang berjaya disimpan, dilaburkan dan dikekalkan.

Jadi pada pandangan saya, apa yang berlaku hari ini bukan kerana wanita bekerja.

Ia adalah gabungan beberapa faktor:

• Pendapatan isi rumah meningkat.

• Akses kepada hutang semakin mudah.

• Pengguna sanggup membayar lebih.

• Gaya hidup meningkat seiring pendapatan.

Pasaran hanya bertindak balas kepada apa yang pengguna mampu dan sanggup bayar.

Sebab itu dalam perancangan kewangan, soalan yang lebih penting bukan:

“Berapa banyak saya boleh pinjam?”

Tetapi:

“Berapa banyak yang saya perlu pinjam?”

Kerana kemampuan bank meluluskan pinjaman dan kemampuan kita hidup selesa selepas membuat bayaran pinjaman adalah dua perkara yang berbeza.

Dua income tak semestinya buat orang kaya.

Tetapi dua income yang diurus dengan baik boleh mempercepatkan perjalanan menuju kebebasan kewangan.

Kalau dua income pun habis dibelanjakan, memang akhirnya kita akan rasa seperti yang disebut dalam post tersebut:

“Bukan makin senang, cuma makin sibuk.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *