Dalam Islam, kita diajar bahawa harta bukan sekadar untuk diri sendiri. Sebab itu ramai yang ringan tangan untuk bersedekah kerana percaya ada keberkatan dan pahala pada harta yang dibelanjakan ke jalan yang baik.
Zakat pula dibayar setiap tahun ke atas pendapatan dan aset yang memenuhi syarat. Bagi ramai orang, ia bukan soal untung rugi atau kira-kira semata-mata, tetapi satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
Bila tiba Aidiladha, ramai yang sanggup mengeluarkan wang untuk ibadah korban supaya manfaatnya dapat dirasai oleh mereka yang kurang berkemampuan.
Ada juga yang melangkah lebih jauh dengan mewakafkan harta dan aset untuk masjid, surau, sekolah, rumah anak yatim dan pelbagai tujuan kebajikan yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.
Walaupun kos menunaikan haji semakin meningkat, ramai masih berusaha mengumpul wang dan menunggu giliran kerana melihat perbelanjaan itu sebagai satu pelaburan akhirat.
Tetapi apabila melibatkan diri sendiri, kebanyakan daripada kita sebenarnya tidak bercita-cita untuk menjadi penerima bantuan.
Saya sendiri tidak pernah berhasrat untuk menjadi golongan asnaf walaupun layak menerima bantuan. Kalau boleh, saya juga tidak mahu hidup bergantung kepada hutang atau ihsan orang lain.
Begitu juga dengan takaful.
Saya ada kad perubatan, tetapi itu tidak bermaksud saya berharap untuk jatuh sakit.
Saya mencarum setiap bulan, tetapi bukan kerana saya mahu dimasukkan ke hospital supaya “berbaloi” dengan sumbangan yang dibuat. Jika tidak digunakan, saya anggap sebahagian daripada sumbangan itu membantu peserta lain yang memerlukan melalui konsep tabarru’.
Perlindungan hayat dan penyakit kritikal juga sama.
Saya tidak mahu lumpuh, kehilangan anggota badan atau didiagnosis dengan penyakit kritikal semata-mata untuk mendapatkan manfaat daripada sijil yang saya miliki.
Dana kecemasan pun begitu.
Saya menyimpan bukan kerana berharap kecemasan akan berlaku. Saya menyimpan kerana saya sedar kecemasan boleh berlaku.
Ia umpama payung yang dibawa ketika cuaca mendung. Bukan kerana kita mahu hujan turun, tetapi sebagai persediaan jika ia benar-benar berlaku.
Banyak perkara dalam perancangan kewangan sebenarnya berfungsi dengan cara yang sama.
Kita memberi kerana mahu menjadi pemberi.
Kita membuat persediaan kerana tidak mahu menjadi orang yang terpaksa bergantung kepada bantuan apabila musibah berlaku.
Dan jika akhirnya persediaan itu tidak pernah digunakan, itu sebenarnya satu nikmat, bukannya satu kerugian.
