Tengok wayar-wayar dekat Thailand ni memang nampak serabut.
Tadi masa keluar cari sarapan dekat 7-Eleven (kalau anak sulung aku cakap, 7-Eleven Thailand paling best berbanding negara lain yang ada 7-Eleven sebab banyak pilihan makanan halal dan sedap), aku nampak beberapa pekerja tengah baiki wayar dekat luar hotel.
Aku tengok pun hairan. Wayar beratus-ratus, berselirat sana sini, tapi diaorang macam tahu je wayar mana yang perlu diperiksa dan dibaiki. Tak nampak pun macam pening atau keliru.
Kalau suruh aku buat memang tak dapatlah. Sebab itu bukan bidang aku.
Perancangan kewangan pun bagi aku lebih kurang sama.
Dari luar nampak macam serabut. Hari ni orang bercakap pasal perubahan kaedah pengiraan pembiayaan kenderaan, esok pasal zakat pelaburan, lusa pasal pasaran saham yang volatile sebab konflik geopolitik. Belum campur isu takaful yang setiap minggu ada sahaja perbincangan baru, harta pusaka yang masih beku bertahun-tahun, percukaian, persaraan, pendidikan anak dan macam-macam lagi.
Bagi orang yang cuba faham semuanya sendiri, memang boleh rasa penat dan keliru.
Sebab itu ada orang memilih untuk mendapatkan khidmat perancangan kewangan.
Bukan sebab mereka tak pandai.
Bukan sebab mereka malas nak belajar.
Tetapi sebab mereka nak seseorang yang memang mendalami bidang itu untuk membantu mengenal pasti perkara yang penting, menyusun keutamaan dan menunjukkan jalan yang sesuai dengan keadaan mereka.
Sama macam aku tak perlu jadi juruelektrik untuk hidup dengan bekalan elektrik yang selamat.
Kadang-kadang kita hanya perlukan orang yang tahu wayar mana yang perlu disentuh, dan yang mana lebih baik jangan diusik langsung.
