rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

“Kalau kerja grabfood boleh buat loan PC Gaming ke?”

Soalan ni ditanyakan dalam group community gaming. Tapi selepas ramai orang respond, orang yang tanya tu akhirnya buat keputusan untuk kumpul duit dan beli PC Gaming dia secara cash nanti.

Bagi aku, itu keputusan yang bagus.

Sebab PC Gaming (kecuali memang digunakan untuk jana pendapatan) lebih kepada kemahuan, bukannya keperluan.

Pada dasarnya, kalau boleh, elakkan buat hutang untuk benda yang kita nak. Sebab bila beli guna hutang, kos sebenar barang tu jadi lebih mahal disebabkan kadar keuntungan / interest. Dalam masa yang sama, kita sebenarnya sedang menggunakan pendapatan masa depan untuk bayar kepuasan hari ini.

Sebab tu ramai orang rasa susah nak menyimpan.

Bukan sebab tak bekerja keras. Tapi sebab sebahagian pendapatan belum masuk pun dah “habis” untuk bayar komitmen lama.

Itulah konsep hutang.

Bila terlalu banyak komitmen bulanan, kita hilang ruang untuk bina simpanan, dana kecemasan dan pelaburan jangka panjang.

Cara paling mudah untuk mula menyimpan sebenarnya bukan terus cari pendapatan tambahan.

Kadang-kadang ia bermula dengan: “aku memang nak benda ni… tapi aku sanggup tunggu.”

Semalam aku jumpa seorang klien yang bagitahu baki hutang kad kredit dia dah tinggal bawah RM200. Lagi sebulan dah boleh settle habis.

Tapi dalam fasa nak habiskan hutang tu, dia masih belum mampu menyimpan lagi sebab majoriti duit digunakan untuk bayar hutang.

Dan itu normal.

Sebab bila kita tengah perbaiki kesilapan lama, fokus utama bukan untuk nampak “kaya”. Tapi untuk dapatkan semula ruang bernafas dalam kewangan.

Bila hutang dah selesai nanti, barulah boleh mula bina simpanan kecemasan dulu sebelum fikir tentang pelaburan dan matlamat jangka panjang.

Kadang-kadang, bukan semua benda yang kita mampu beli sekarang… kita patut beli sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *