“KWSP boleh hibah tak?”
“ASB boleh hibah tak?”
“Tabung Haji boleh hibah tak?”
Nak jawab soalan tu sebenarnya mudah.
– KWSP tak boleh hibah.
– ASB boleh hibah.
– Tabung Haji boleh hibah.
Tapi bagi saya, itu bukan soalan paling penting.
Sebab kalau kita terus pilih produk tanpa faham objektif sebenar, kita mungkin buat struktur yang tak tepat untuk keluarga sendiri.
Jadi bila saya buat sesi dengan klien, saya selalu minta mereka fikir 3 benda dulu.
– Siapa yang patut dapat harta kita?
– Bila dia patut dapat?
– Berapa yang dia patut dapat?
Lepas dah jelas benda ni, baru bincang instrumen apa yang sesuai digunakan.
Sebab setiap instrumen ada fungsi dan objektif berbeza.
Contoh.
Klien A dah berkahwin, ada anak kecil, isteri tak bekerja, masih ada hutang rumah dan komitmen lain.
Objektif dia bukan sekadar “nak hibahkan harta”.
Objektif sebenar dia ialah:
– Nak pastikan hutang selesai supaya keluarga tak terbeban.
– Nak pastikan keluarga ada duit untuk teruskan hidup.
– Nak pastikan anak-anak terjaga sampai dewasa.
– Nak pastikan harta tak habis atau disalahurus kalau dia dah tiada.
Jadi apa yang lebih penting untuk dibuat?
1. Tengok dulu baki hutang yang ada.
Kalau perlu, ambil perlindungan takaful yang cukup untuk cover hutang tersebut.
Dan saya biasanya tak galakkan hibahkan pampasan yang memang diniatkan untuk settle hutang.
Sebab bila dihibahkan, akhirnya terpulang kepada penerima sama ada dia nak guna duit tu untuk bayar hutang ataupun tidak.
Dan jangan assume MRTT pasti cukup ya. Kadang-kadang baki hutang dan perlindungan tak sama.
2. Kira keperluan hidup keluarga.
Kalau kita dah tiada esok, cukup tak aset sedia ada untuk tampung kehidupan pasangan dan anak-anak?
Kalau cukup, mungkin tak perlu tambah perlindungan.
Kalau tak cukup, dan kita mampu, boleh pertimbangkan perlindungan tambahan untuk tampung jurang tersebut.
3. Sediakan emergency cashflow untuk keluarga.
Ini benda yang ramai terlepas pandang.
Bila seseorang meninggal dunia, banyak aset akan beku sementara waktu.
Nak urus pusaka ambil masa.
Nak keluarkan duit pun bukan semua terus boleh guna.
Sebab tu saya selalu cadangkan sediakan sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan keluarga dalam instrumen yang mudah dicairkan.
Dekat sini hibah amanah ASB atau Tabung Haji boleh jadi salah satu option.
Saya secara peribadi lebih suka ASB sebab kalau berlaku sesuatu kepada penerima, hibah tu masih boleh dibatalkan.
Sekurang-kurangnya keluarga ada ruang untuk bernafas sementara tunggu proses pusaka selesai.
Dan jangan lupa, walaupun ada takaful atau MRTT, tuntutan pun bukan serta-merta siap. Kadang-kadang post mortem report pun ambil beberapa bulan.
4. Kalau risau keluarga tak mampu urus harta dengan baik, boleh explore trust.
Ada orang tinggalkan aset banyak, tapi waris tak biasa urus duit besar.
Akhirnya duit habis, kena scam, dipinjam orang, atau salah urus.
Dekat sini boleh pertimbangkan testamentary trust melalui wasiat, ataupun living trust semasa hidup.
Kalau nak lebih kemas dan terkawal, living trust biasanya lebih kuat sebab arahan pengurusan aset boleh dibuat lebih awal.
Kita boleh tetapkan macam mana duit digunakan, siapa uruskan, dan bagaimana keluarga akan menerima income bulanan.
5. Tetap kena ada wasiat.
Sebab ada aset yang mungkin tercicir kalau tak disenaraikan.
Dan paling penting, untuk lantik penjaga anak bawah umur.
Ramai sibuk bincang pasal pembahagian harta, tapi lupa fikir siapa yang akan jaga anak kalau kedua-dua ibu bapa dah tiada.
Akhirnya, perancangan harta pusaka bukan tentang produk semata-mata.
Ia tentang memastikan orang yang kita sayang dapat teruskan hidup dengan tenang bila kita dah tiada nanti.
