rafiqhidayat.com

Search
Close this search box.

Tanda-tanda hidup kita sebenarnya lebih baik dari apa yang kita sangkakan

Sejak aku menceburi bidang kewangan ni (konon macam lah baru, padahal dah nak dekat 13 tahun dah), satu benda yang semakin jelas aku nampak: ramai antara kita sebenarnya lebih “ok” daripada apa yang kita rasa, cuma kita jarang berhenti untuk betul-betul nampak apa yang kita sudah ada.

Masalahnya, kita hidup dalam dunia yang terlalu banyak “perbandingan”.

Scroll media sosial 5 minit, kita nampak orang upgrade kereta.

Scroll lagi, nampak orang beli rumah kedua.

Scroll lagi, nampak orang travel sana sini.

Dan perlahan-lahan, tanpa kita sedar… kita mula rasa hidup kita kecil. Tak cukup. Tak bergerak. Tak adil.

Sedangkan realitinya mungkin berbeza.

Antara tanda-tanda yang mungkin menunjukkan hidup kita sebenarnya lebih baik dari apa yang kita sangka

1. Kita masih ada pendapatan yang stabil

Ramai orang nampak gaji sendiri “biasa-biasa”, tapi tak sedar itu sebenarnya sudah meletakkan kita dalam kelompok yang lebih bernasib baik daripada sebahagian besar populasi dunia yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Aku tengok dekat banyak bandar-bandar besar seluruh dunia, ramai jer yang hidup dekat situ, cuma ada kerja part-time saja. Kena buat macam2 semata-mata nak survive.

2. Kita masih mampu bayar komitmen bulanan

Walaupun rasa sempit, hakikatnya bila semua bil, sewa, loan, dan keperluan asas masih boleh dibayar setiap bulan, itu tanda sistem kewangan kita masih “berfungsi”, bukan sedang runtuh.

Memang lah bulan-bulan kita akan rasa sempit. Tapi selagi kita mampu bayar, tanpa menambahkan hutang, maksudnya keadaan kita tak seteruk yang kita sangkakan.

3. Kita masih ada tempat berteduh

Rumah sewa, rumah sendiri, bilik kecil.

Ini kadang-kala kita pandang sebagai perkara biasa sebab kita mungkin tak pernah hidup sebagai gelandangan. Tapi cuba fikir, ada orang lain yang setiap hari berdepan ketidakpastian tempat tidur.

4. Kita masih boleh makan tanpa risau esok tak makan

Mungkin bukan mewah, mungkin bukan setiap hari fine dining. Tapi keupayaan untuk makan dengan konsisten itu satu “privilege” yang kita sering ambil ringan.

Dapat makan lebih dari sekali sehari tu sebenarnya privilege yang besar.

5. Kita masih ada pilihan

Nak tukar kerja, nak belajar skill baru, nak ubah arah hidup, itu semua tanda kita masih ada ruang untuk bergerak. Ramai orang sebenarnya tidak ada “luxury of choice”.

Kenapa kita tetap rasa tak cukup?

Sebab otak kita tidak dibandingkan dengan realiti kita…

Tapi dibandingkan dengan “highlight reel” orang lain.

Kita tak nampak:

– hutang yang dia sembunyikan

– tekanan yang dia tak cerita

– bantuan keluarga yang dia tak highlight

– kegagalan yang dia padam dari media sosial

Yang kita nampak cuma hasil akhir. Bukan proses.

Perspektif kewangan yang selalu aku tekankan kepada client. Dalam financial planning, kita selalu mula dengan satu soalan mudah:

“Kalau hidup berhenti hari ini, apa yang sebenarnya sudah cukup?”

Sebab dari situ baru kita boleh bezakan:

apa yang kita perlukan

vs

apa yang kita inginkan kerana perbandingan

Ramai orang sebenarnya bukan miskin. Tapi “terasa miskin” kerana benchmark mereka salah.

Kesimpulannya, hidup kita mungkin tak sempurna. Tapi “tak sempurna” ≠ “tak cukup”. Kadang-kadang, hidup kita sebenarnya lebih stabil, lebih selamat, dan lebih terurus daripada apa yang emosi kita cuba yakinkan.

Cuma kita perlu berhenti sekejap dan belajar untuk nampak apa yang sudah ada, bukan hanya apa yang belum ada.

Sebab bila kita mula nampak dengan betul, kita akan sedar:

kita bukan sedang ketinggalan hidup.

kita cuma terlalu lama melihat hidup orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *