Sekarang ni musim orang isi e-Filing, dan saya nampak makin ramai mula persoalkan sama ada struktur pelepasan cukai yang ada hari ini masih relevan atau tidak, terutama bila kos sara hidup makin tinggi.
Bagi saya, soalan ini memang wajar dibangkitkan.
Tapi sebelum pergi lebih jauh, kita kena faham dulu:
Pelepasan cukai tak sama dengan rebat cukai.
Pelepasan cukai = mengurangkan pendapatan bercukai
Rebat cukai = mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar
Sebab itu, lagi tinggi kadar cukai seseorang, lagi besar manfaat pelepasan cukai yang dia rasa.
Sebaliknya, kalau seseorang itu:
tak kena cukai langsung, atau
cukainya habis diimbangi dengan zakat,
maka pelepasan cukai ini tidak memberi kesan yang besar kepada mereka. Maksudnya, bila kerajaan beri pelepasan cukai, bukan semua orang dapat manfaat yang sama.
Kenapa kerajaan beri pelepasan cukai?
Secara asasnya, pelepasan cukai digunakan sebagai alat dasar untuk galakkan rakyat buat keputusan tertentu, contohnya:
simpan untuk pendidikan anak
ambil perlindungan perubatan / takaful
buat simpanan persaraan
jaga ibu bapa
tingkatkan perbelanjaan yang memberi manfaat jangka panjang
Maknanya, pelepasan cukai bukan sekadar “kurangkan cukai”.
Ia sebenarnya satu bentuk insentif untuk galakkan tingkah laku kewangan yang baik. Tapi persoalannya sekarang…
Adakah had pelepasan yang ada hari ini masih selari dengan realiti kos hidup semasa?
Sebagai contoh, untuk tahun taksiran 2025:
Pelepasan SSPN telah berubah
Dulu: sehingga RM8,000 seorang
Kini: sehingga RM8,000 sekeluarga
Pada masa sama, pelepasan takaful / insurans perubatan dinaikkan dari RM3,000 kepada RM4,000
Secara kasarnya, memang nampak ada penambahan di satu bahagian.
Tetapi bagi keluarga yang memang konsisten menyimpan dalam SSPN, pengurangan pada bahagian lain mungkin lebih terasa.
Jadi, persoalan tentang semakan semula pelepasan cukai itu memang valid. Pada pandangan saya, pelepasan cukai memang patut dikaji semula secara berkala.
Bukan semata-mata untuk “bagi lebih banyak pelepasan”. Tetapi supaya,
– had pelepasan lebih realistik dengan kos semasa manfaat lebih relevan dengan keperluan keluarga hari ini
– insentif yang diberi benar-benar menggalakkan keputusan kewangan yang baik
– struktur cukai nampak lebih adil dan praktikal
Kalau kos pendidikan, rawatan, perlindungan, penjagaan ibu bapa dan persaraan semuanya semakin meningkat…
tetapi had pelepasan masih statik, atau sebahagiannya dikurangkan, maka fungsi asal pelepasan itu sendiri jadi kurang berkesan.
Satu cadangan yang saya rasa sangat patut dipertimbangkan adalah wujudkan pelepasan cukai untuk bayaran professional fee kepada Licensed Financial Planner.
Sebagai seorang financial planner, saya lihat sendiri ramai orang sebenarnya perlukan bantuan untuk:
urus aliran tunai
susun hutang
bina dana kecemasan
rancang perlindungan keluarga
simpan untuk pendidikan anak
susun pelan persaraan
buat perancangan harta pusaka
Tetapi ramai juga yang masih anggap dapatkan nasihat kewangan profesional ini sebagai sesuatu yang “mahal” atau “bukan keutamaan”.
Akhirnya mereka tangguh. Sedangkan dalam banyak kes, kos kesilapan kewangan jauh lebih mahal daripada kos mendapatkan nasihat yang betul.
Kalau kerajaan beri pelepasan cukai untuk professional fee financial planner…
Kesannya bukan sekadar bantu industri. Lebih penting, ia boleh bantu lebih ramai rakyat Malaysia berani mendapatkan nasihat kewangan yang berkualiti.
Bila lebih ramai dapat akses kepada nasihat kewangan yang betul:
risiko terlebih hutang boleh dikurangkan
simpanan kecemasan boleh diperkukuh
perlindungan keluarga jadi lebih tersusun
perancangan persaraan boleh dibuat lebih awal
kesilapan membeli produk kewangan boleh dikurangkan
isu harta pusaka yang tidak dirancang boleh diminimumkan
Maksudnya, ini bukan sekadar pelepasan cukai untuk individu. Ini sebenarnya boleh jadi pelaburan sosial jangka panjang untuk negara.
Bagi saya, pelepasan cukai memang patut dikaji semula. Bukan semata-mata sebab orang nak bayar cukai kurang. Tetapi sebab kalau kerajaan nak gunakan pelepasan cukai sebagai alat untuk membentuk tingkah laku kewangan rakyat, maka alat itu mesti sentiasa relevan dengan realiti semasa.
